BERITA TERKINI

Saturday, 22 February 2014

Bergelap peti jana kuasa meletup

Advertisement
ALOR SETAR - Kira-kira 200 penghuni Blok C Flat Alor Malai, dekat sini, terpaksa melalui tempoh bergelap selama lima hari apabila sebuah peti jana kuasa utama di blok mereka meletup dan terbakar.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi, Selasa lalu, beberapa anak muda baru pulang menonton perlawanan bola sepak Piala FA di Stadium Darul Aman, di sini dikejutkan insiden letupan dan percikan seakan-akan bunga api.

Bagaimanapun, wakil penduduk, Mohd Farouk Hanafi, 43, berkata, kerana peti jana kuasa utama terbabit belum dibaiki, maka bekalan elektrik tidak boleh digunakan, sekali gus mengakibatkan urusan seharian seperti menggosok baju terjejas.

“Kesemua penghuni terpaksa bergantung wayar sambungan hasil insan penduduk kampung berdekatan, Abdul Rahim Mat Sam yang terletak kira-kira 60 meter (m) daripada blok terbabit. Manakala, ada juga memasang lilin.

“Meskipun, menyedari tindakan kami memasang terlalu banyak soket barangan elektrik dalam satu masa agak berbahaya. Kami terpaksa melakukannya kerana sekurang-kurangnya tidak perlu gelap gelita,” katanya.

Manakala, jirannya, Sariah Mohd Isa, 37, berkata, mereka tidak hanya terpaksa kepanasan, dan bergelap sejak beberapa hari, sebaliknya turut kerugian apabila barangan mentah dalam peti ais rosak.

Katanya, kanak-kanak menangis akibat ketidakselesaan, warga emas dikhuatiri terjatuh kerana terpaksa jalan dalam kegelapan, manakala lebih 10 penduduk sanggup tidur kaki lima semenjak kejadian itu.

Dalam pada itu, masalah kerosakan peti jana kuasa terbabit mendapat perhatian Adun Derga, Tan Kok Yew, yang turun padang bersama beberapa wartawan malam kelmarin.

Tan Kok Yew berkata, dia sudah berbincang dengan Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berhubung masalah itu.

Katanya, penduduk tidak seharusnya dibiarkan terus bergelap, justeru pihaknya mengharapkan tindakan pantas pihak berkaitan seperti memasang generator buat sementara waktu bagi membantu penduduk.

Sementara itu, Badrol Hisham yang juga merangkap Adun Kuala Nerang berkata, dia telah memanjangkan masalah dialami penduduk Blok C, Flat Alor Malai, kepada jabatan berkaitan untuk tindakan sewajarnya.

“Saya difahamkan pegawai jabatan bertanggungjawab, yakni bahagian perumahan akan menerangkan situasi dialami kepada penduduk terbabit. Insya-ALLAH, kesulitan mereka akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Post a Comment