Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sebuah bas sekolah dipandu seorang wanita berusia 45 tahun merempuh tiga kenderaan lain di hadapannya termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita itu dalam perjalanan ke bengkel di Menglembu untuk membaiki brek bas yang mengalami kerosakan.
Menurutnya, ketika kejadian, hujan lebat serta keadaan jalan licin menyebabkan pemandu bas hilang kawalan dan melanggar ketiga-tiga kenderaan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, dua daripada kenderaan terlibat remuk di bahagian belakang dan hadapan.
“Manakala, bas sekolah hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan kereta Perodua Viva pula remuk di bahagian belakang," katanya.
Beliau berkata, turut dirempuh dalam kemalangan tersebut adalah kereta Proton Iswara dan MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Katanya, kesemua mereka yang terbabit dalam kemalangan itu termasuk dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 32 serta 34 tahun yang menaiki MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun, kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000.
Post a Comment