BERITA TERKINI

Wednesday, 19 February 2014

Bapa mertua hilang setelah keluar rumah

Advertisement
KUANTAN - Sebuah keluarga yang tinggal di Batu 13, Jalan Gambang merayu kepada orang ramai yang menemui bapa mereka supaya menghantarnya ke rumah atau balai polis berhampiran selepas warga emas itu yang keluar rumah sejak Ahad lalu tidak pulang.

Samsuddin Abdul Ghani, 49 berkata, bapa mertuanya, Ngah Long, 71, yang mengalami masalah daya ingatan keluar rumah kira-kira jam 11.30 pagi ketika abang ipar dan isterinya keluar bekerja tetapi tidak pulang semula seperti kebiasaannya.

Menurutnya, ketika keluar rumah, bapanya hanya memakai kain pelekat dan t-shirt biru tanpa membawa sebarang dokumen termasuk MyKad.

“Kami sekeluarga bimbang kerana dia mengalami masalah paru-paru dan mudah semput,”  katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia berkata, sebelum ini mertuanya sudah beberapa kali keluar rumah tetapi dihantar pulang oleh jiran dan rakan-rakan mereka yang menemuinya tidak jauh dari rumah.

“Sehingga kini, kami masih mencari ayah di semua lokasi awam dan Hospital Tengku Ampuan Afzan selain bertanya pada rakan-rakan tetapi masih gagal menjejakinya,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan bapa mertuanya, mereka sekeluarga membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.

Samsuddin berkata, mereka sekeluarga berharap, bapanya pulang semula ke pangkuan keluarga dan mereka yang menemuinya boleh menghantarnya ke balai polis berhampiran atau menghubunginya di talian 0172200210 atau 0176655771.

Post a Comment