Penembak berusia 22 tahun itu, bagaimanapun berkata, beliau perlu mengharungi beberapa kejohanan kelayakan dalam tempoh terdekat bagi mencerahkan peluang beraksi buat pertama kali pada Sukan Asia.
Buat permulaan, beliau akan bersaing pada Kejohanan Air Gun Asia Ketujuh di Kuwait, Mac ini.
"Pencapaian saya memang meningkat sejak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember lepas berikutan penggunaan pistol baharu dan bimbingan jurulatih baharu, Zamil Ahmad Murad.
"Kehadiran jurulatih baharu ini akan menyuntik semangat kepada saya dan rakan sepasukan untuk memberi aksi terbaik di Kuwait," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menyentuh mengenai sasaran peribadinya tahun ini, Jonathan berkata beliau hanya menyasarkan untuk mengekalkan persembahan cemerlangnya selain memberikan fokus sepenuhnya dalam bidang pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Jonathan, yang akan meraihkan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Melaka esok, berharap kehadiran Tahun Kuda dapat menyuntik semangat kepadanya untuk meraih lebih banyak kejayaan pada tahun ini.
"Setiap tahun saya akan balik ke Melaka dan beraya bersama keluarga...Memang meriah sebab saudara mara dari Singapura juga akan turut pulang untuk melawat datuk yang tinggal bersama keluarga saya," katanya.
Sukan Komanwel akan bermula dari 23 Julai hingga 3 Ogos manakala Sukan Asia akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Post a Comment