Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa bersama isterinya, Esah Embong, 60-an, dalam perjalanan dari arah Kuala Berang menghala ke Sekayu.
Manakala Perodua Viva dipandu seorang lelaki dikenal sebagai Mokhtar Endut berasal dari Kampung Pelandan dalam perjalanan dari arah Sekayu ke Kuala Berang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba, Khairul Anuar Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.34 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati pemandu Viva dan penumpang Myvi telah pun keluar hasil bantuan orang awam, manakala pemandu Myvi masih berada di tempat duduk kerana tersepit selain pintu juga mengalami kerosakan.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan yang berada agak hampir dengan cerun sebelum diserahkan kepada ambulans bagi mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT),” katanya kepada Sinar Harian.
Khairul Anuar berkata, penumpang Myvi juga dibawa menaiki ambulans ke hospital, manakala pemandu Viva dihantar terlebih dahulu oleh orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintandan Hussin Deraman ketika dihubungi berkata, punca sebenar kejadian belum dapat disahkan dan masih dalam siasatan memandangkan kedua-dua pemandu kenderaan terlibat ditahan di hospital.

Post a Comment