BERITA TERKINI

Thursday, 5 March 2015

Kembali bersatu setelah 11 tahun menyepi

Advertisement
Selepas 25 tahun kumpulan Iklim membina legasi dalam arena muzik tanah air, perpecahan mereka selepas merakamkan album terakhir Bunga Emas pada tahun 2006 benar-benar mendukacitakan peminat yang selama ini setia dengan iringan melodi yang diperjuangkan oleh lima anggota tetap band rock itu.

Masakan tidak, untaian lagu melankolik seperti Bukan Aku Tak Cinta, Aduhai! Seribu Kali Sayang, Gerhana Cinta Luka dan Suci Dalam Debu dendangan mereka cukup melekat dalam ingatan peminat.

Selepas Iklim bubar, setiap daripada anggotanya iaitu Saleem, Umarul, Mohalim, Kama dan Huzali membawa haluan masing-masing. Hanya vokalisnya, Saleem masih meneruskan kerjaya seni bergerak secara solo.

Biarpun nama kumpulan tersebut semakin menyepi, kekuatan lagu yang pernah diabadikan dalam industri hiburan tempatan tidak pernah lekang daripada terus diputarkan di corong-corong radio.

Fasa hitam yang pernah dilalui kelima-lima anggota kumpulan itu telah berlalu. Mereka kembali bersatu setelah 11 tahun menyepi bersama anggota asal.

Bersepakat untuk kembali melaksana dan meneruskan impian yang terhenti seketika sebelum ini, Iklim bakal merakamkan sebuah single terbaharu yang digubah sendiri, selain beberapa siri konsert jelajah menuju impian untuk beraksi di pentas berprestij Istana Budaya.

Langkah pertama Iklim, mereka akan menggegarkan pentas di Marina Bay Muar, Johor pada 7 Mac ini. Konsert anjuran Empire Iklim dan ML Capital Sdn. Bhd. yang bermula pada pukul 8.30 malam itu telah direncanakan sejak sebulan lalu.

Ditanya mengenai persediaan menjelang konsert reunion tersebut, kata gitaris Iklim, Umarul, latihan intensif dan rapi sedang giat dilaksanakan setiap hari bagi mencari kembali keserasian untuk beraksi bersama-sama selepas ‘perpisahan’ selama 11 tahun. Peminat juga semestinya menantikan kejutan daripada mereka.

“Kami semua tidak sabar menantikan tarikh tersebut. Kami juga rindukan peminat yang dahulu. Seiring masa beredar, saya percaya mereka semua sudah berkeluarga dan mempunyai anak seperti kami.

“Jadi, bawalah anak-anak generasi baharu ini untuk lihat persembahan otai-otai rock. Kami juga ingin melihat reaksi anak muda hari ini, terutamanya peminat muzik rock sama ada mereka boleh menerima rock kami atau tidak,” ujarnya.

Sementara itu, selaku vokalis, Saleem meletakkan harapan tinggi untuk mereka kembali menghiburkan peminat yang telah sekian lama menantikan kemunculan Iklim.

“Kami berharap dengan kemunculan Iklim secara tidak langsung akan memberikan pedoman kepada kumpulan baharu yang baru memulakan langkah dalam persada seni.

“Bukan senang untuk bersatu secara utuh. Kadangkala pasti ada yang akan berkecil hati atau terasa dengan tindakan sesama anggota, jadi perkara pokok yang harus diambil berat adalah sikap toleransi dalam kalangan anggota kumpulan,” kata Saleem.

Tiket konsert berharga RM50, boleh didapati di Marina Bay Muar, Johor atau hubungi talian 012-799 1428 atau 012-799 1638 atau layari laman Facebook, Empayar Iklim Official untuk maklumat lanjut.

Post a Comment