BERITA TERKINI

Thursday, 11 September 2014

S850 telefon terbaru dari Lenovo

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lenovo memperkenalkan rangkaian generasi terbaharu telefon pintar dalam siri S, S850 yang menggabungkan unsur rekaan anggun untuk dipadankan dengan gaya hidup masyarakat masa kini.

Peranti baharu itu melengkapkan barisan siri telefon pintar Lenovo dengan menawarkan pilihan nilai berganda mengikut kesesuaian bajet pengguna.

Pengurus Besar Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan, berkata syarikat yakin pelancaran S850 akan meningkatkan jualan telefon pintar keluaran Lenovo dan pada masa sama terus memperkukuhkan jenama syarikat.

Telefon pintar keluaran Lenovo terus mencatat pertumbuhan jualan positif dengan lebih 50 juta unit terjual di seluruh dunia, tahun lalu.

"Kami mencatat pertumbuhan 37 peratus tahun ke tahun dan bahagian pasaran pengeluaran telefon pintar global sebanyak 4.6 peratus sekali gus menjadikan kami pemain keempat terbesar dunia," katanya pada pelancaran S850 di sini.

Model S850 disasarkan kepada pengguna yang menggemari set telefon pintar yang menarik dan bergaya.

Peranti pintar itu turut dilengkapi dengan kuasa hayat bateri lebih lama, dijana sistem operasi Android v4.4 KitKat dan kemudahan kamera beresolusi 13 megapiksel (MP).

Rangkaian peranti siri S juga dilengkapi keupayaan menampung dua kad SIM serta kamera depan bersudut luas di samping kamera belakang yang dipersiapkan lampu denyar bagi rakaman gambar yang mengagumkan.

Keluaran terbaharu itu didatangkan dengan pilihan warna merah jambu, putih dan biru gelap dengan tanda harga RM729 seunit.

Post a Comment