BERITA TERKINI

Friday, 19 September 2014

Lelaki kurang siuman mengamuk di Alor Setar

Advertisement
ALOR SETAR - Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan polis apabila mengamuk menggunakan kayu besbol di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintu Sepuluh di sini, hari ini.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan di hadapan hotel terbabit selepas dikejar beberapa kilometer.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima aduan orang awam kira-kira jam 9.25 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki sedang mengamuk di sebuah kedai makan, di sini.

Menurutnya, sebaik anggota polis tiba di lokasi kejadian, suspek cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta mewah yang dipandu secara agresif melalui kawasan Jalan Suka Menanti, Jalan Gangsa dan Jalan Putra.

“Isteri suspek yang berada dalam kenderaan itu kemudian menghubungi polis memaklumkan suaminya kurang siuman sebelum suspek memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah hotel.

“Anggota polis kemudian memujuk suspek keluar dari kenderaan dan menyerah diri namun bertindak agresif dengan mengambil sebatang besi dan menyerang,” katanya.

Adzaman berkata, suspek yang tidak berpakaian itu kemudian berjaya ditahan kira-kira jam 12 tengah hari dan dibawa ke Hospital Psikiatri Bakar Bata, di sini, untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, kes itu diserahkan kepada hospital untuk tindakan lanjut.

Post a Comment