BERITA TERKINI

Tuesday, 2 September 2014

Fernando Torres kini berada dalam radar JDT

Advertisement
PENYERANG Sepanyol, Fernando Torres kini berada dalam radar Johor Darul Takzim (Johor DT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2016.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengesahkan bahawa baginda telah memulakan rundingan awal bagi mendapatkan khidmat penyerang Sepanyol itu untuk menyarung jersi Johor DT bagi musim 2016.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), telah pun bertemu dengan ejen bekas penyerang kelab Liga Perdana England, Chelsea itu yang kini dipinjamkan ke kelab AC Milan selama dua tahun.

“Kami telah memulakan rundingan untuk mendapatkan Torres yang akan menjadi ‘penjaring paling penting’ untuk kita pada musim 2016. Dia akan menggantikan penyerang Johor DT ketika ini, Luciano Figueroa yang akan bersara pada musim 2016,” katanya pada majlis taklimat dengan media dan penyokong Johor DT di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam.


Selain Torres, 30, yang menjadi sasaran Johor DT untuk musim 2016, pasukan Harimau Selatan itu juga berminat mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa lain jika usaha mendapatkan bekas penyerang Chelsea tersebut gagal.

Tunku Ismail bertitah, antara pemain antarabangsa terbabit termasuklah penyerang kelab Juventus, Fernando Llorente dan Mario Gomez yang kini bermain dengan kelab Fiorentina di Itali serta pemain kelahiran Argentina, Javier Saviola.

Saviola kini bermain dengan kelab Serie A Itali, Hellas Verona.

Ditanya mengapa Johor DT berminat mendapatkan Torres walaupun dia gagal menyinar ketika bersama Chelsea, Tunku Ismail bertitah, penyerang Sepanyol itu merupakan pemain yang berkualiti, berpengalaman dan berkebolehan.

“Walaupun prestasinya di Chelsea kurang memberangsangkan tetapi kita juga kena lihat prestasinya ketika di Liverpool dan ketika bermain untuk pasukan kebangsaan Sepanyol,” titah baginda.

Selain itu, Tunku Mahkota Johor itu juga mendedahkan, bekas penyerang utama kelab Itali, Inter Milan kelahiran Argentina, Diego Milito turut berminat bermain untuk Harimau Selatan.

“Kesemua pemain import Johor DT pada musim ini akan dikekalkan untuk musim 2015 manakala barisan pemain tempatan akan diubah dengan kemasukan muka baharu daripada beberapa pasukan,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail bagaimanapun enggan mendedahkan lima pemain tempatan Johor DT yang bakal digantikan dengan muka baharu itu dengan alasan ia akan mengganggu moral pemain Harimau Selatan yang sedang beraksi dalam Piala Malaysia.

Empat pemain import Johor DT pada musim ini ialah Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz (Argentina), pemain pertahanan Brazil, Marcos Antonio Santos serta Hariss Harun dari Singapura.

Ditanya mengenai kegagalan mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Cameroon, Samuel Eto’o, baginda bertitah, bekas penyerang terbaik Afrika itu meminta bayaran tinggi dan di luar kemampuan pasukan selatan tanah air tersebut.

“Dia (Eto’o) meminta bayaran tinggi,” titah baginda tentang rundingannya dengan Eto’o yang kini beraksi dengan Everton.

Mengenai masa depan ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak, baginda bertitah, kedudukan pengendali kelahiran Croatia itu adalah selamat dan akan terus mengendalikan juara Liga Super tersebut pada musim depan.

sourceArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3CBPU4Cry Hakcipta terpelihara

Post a Comment