.KOTA TINGGI - Seorang wanita maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 11 Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Kampung Desa Makmur, malam semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, lima yang lain cedera parah manakala seorang cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman ketika mengesahkan kejadian berkata, kemalangan tersebut membabitkan kereta jenis Toyota Altis, Proton Waja dan Perodua Myvi yang datang dari arah Kota Tinggi dalam perjalanan menghala ke Kluang.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Toyota Altis yang berada di hadapan memberhentikan kenderaan di bahu kiri jalan untuk membuat pusingan ke arah Kota Tinggi.
“Tindakan pemandu Toyota Altis itu menyebabkan pemandu Proton Waja, Mohd Norfazri Sakiman, 30, yang mengekori tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan Toyota Altis.
“Perodua Myvi yang berada di belakang Proton Waja tidak sempat mengelak dan terlanggar kereta tersebut.
“Akibat kemalangan itu, penumpang depan Toyota Altis, Teo Yoke Eng, 76, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat,” katanya.
Pemandu Toyota Altis yang juga anak mangsa, Lee Sing @Lee Yong Sang, 41, serta empat penumpang Proton Waja yang mengalami cedera parah turut dikejarkan ke HKT untuk rawatan lanjut.
Pemandu Proton Waja hanya cedera ringan manakala Pemandu Perodua Myvi serta enam penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Rahmat berkata, siasatan awal mendapati tempat kejadian kawasan jalan lurus menaiki bukit menghala ke Kluang serta mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi laluan.
“Tempat kejadian gelap kerana tiada lampu jalan manakala kiri, kanan jalan pula merupakan kawasan kelapa sawit. Semasa kejadian, keadaan cuaca baik dan keadaan lalu lintas tidak sibuk.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Post a Comment