Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Yusmadi Mohd Yusof, 39, terkejut apabila melihat kelibat manusia dalam kedainya ketika dia baru membuka pintu kedainya.
Isteri Yusmadi, Saripah Zamzarina Syed Ismail, 36, berkata, suaminya masuk ke kedai untuk menutup lampu dan mengambil kunci kereta.
“Namun, sebaik suami buka pintu gelongsor kedai, dia nampak cahaya terang kerana atap dan siling dipecahkan pencuri. Suami juga nampak kelibat manusia menyorok di belakang tiang, lalu suami jerkah suruh lelaki itu keluar sebelum berlaku pergelutan,” katanya.
Katanya, semasa bergelut suaminya sempat memaut leher suspek yang berusia lingkungan 30-an.
“Bagaimanapun, semasa memaut leher itulah, suspek tiba-tiba mencapai kepala tukul dan cuba hentak kepala suami..tapi mujurlah suami sempat elak,” katanya.
Ibu empat anak ini berkata, setiap Jumaat dia membuka kedai agak lewat berbanding hari biasa iaitu selepas solat Jumaat.
“Suami nak ambil kunci kereta sebab nak hantar mak ke hospital. Saya pula waktu itu berada di ruang tamu rumah dan saya dengar suara suami ketika jerkah lelaki itu,” katanya.
Menurut Saripah Zamzarina, sejurus suspek yang berasal dari Bandar Cheneh Baru itu ditangkap, dia dan suami segera memeriksa rumah lama di belakang kedai dan mendapati rumah itu berselerak.
Suspek dipercayai terlebih dahulu memecah masuk rumah tersebut namun, apabila mendapati tiada barang berharga, dia kemudian bertindak memecah masuk kedai pula.
Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis.
Post a Comment