BERITA TERKINI

Thursday, 24 April 2014

Sistem teknologi baharu BattleTek IV bakal diperkenalkan oleh ATM

Advertisement
KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkenalkan sistem teknologi baharu iaitu BattleTek IV bagi tujuan latihan operasi, taktikal dan logistik pasukan keselamatan itu.

Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shukuri Ahmad berkata, sistem itu akan menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berbanding sebelum ini, hanya menggunakan sistem manual melalui kertas peta.

 Menurutnya, sistem itu sebelum ini juga telah diguna pakai di seluruh dunia dan ATM adalah pasukan keselamatan pertama di negara menggunakannya.

 “BattleTek IV adalah satu sistem menggantikan sistem bacaan manual peta yang membolehkan latihan dilaksanakan untuk semua anggota daripada peringkat taktikal sehingga operasi.

 “Dengan adanya sistem ini, memudahkan lagi kita melaksanakan latihan dan kaedah pembelajaran yang lebih mantap, mudah difahami serta membantu kita melihat kaedah perlaksanaan dengan lebih jauh,” katanya selepas merasmikan Eksesais Satria Gagah dan Perwira Bakti di Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa, di sini kelmarin.

Turut hadir, Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah.

Latihan disertai kira-kira 260 pegawai dan anggota  telah bermula sejak 19 April dan berakhir 26 April ini.

 Mengulas latihan tersebut, Mohd Shukuri berkata, ia bertujuan memperbaiki kesalahan dan kecacatan yang berlaku dalam sesuatu operasi dijalankan anggota.

 “Apabila selesai sahaja proses latihan, pihak atasan ATM akan menyemak dan menyelidik semula supaya kelemahan dalam sistem operasi ini boleh diperbaiki,” katanya.

Post a Comment