BERITA TERKINI

Saturday, 19 April 2014

Peserta dari Terengganu berjaya raih RM30,000

Advertisement
KUALA NERUS - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah perumpamaan sesuai diberikan kepada Mohd Arif Ali dari Chabang Tiga, Kuala Terengganu apabila muncul johan dalam Rekreasi Sukan Memancing 2014 anjuran Faizal Joran.

Hasil kejayaan memancing ikan toman seberat 6.9 kilogram itu, Mohd Arif berjaya membawa pulang wang tunai utama bernilai RM30,000.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menduga bakal merangkul tempat pertama kerana penyertaan dalam pertandingan itu sekadar suka-suka, namun dia bersyukur dengan kemenangan itu.

“Memang minat saya memancing dan selalu juga sertai pertandingan, tapi hari ini (semalam) saya tak letakkan harapan tinggi, tak sangka pula menang.

“Sepanjang penyertaan saya, hadiah wang tunai paling lumayan yang pernah saya menang pun setakat RM3,000, jadi kemenangan kali ini adalah hadiah paling berharga yang pernah saya capai sepanjang hidup,” katanya.

Mohd Arif berkata, dia belum ada perancangan untuk menggunakan wang tersebut, namun akan menyimpan sebahagiannya untuk kegunaan pada masa akan datang.

“Saya akan simpan sikit, manalah tahu kesempitan wang suatu hari nanti, sebahagian lagi mungkin saya gunakan untuk belanja ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, pengerusi pertandingan, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, seramai 1,000 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan yang julung kali diadakan di Tasik Kompleks Sukan Gong Badak.

“Alhamdulillah, penyertaan kali ini amat memberangsangkan, di mana peserta terdiri daripada pelbagai negeri antaranya Johor, Kedah, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

“Malah, ada antara peserta yang membeli tiket termasuk untuk joran dan cabutan bertuah sehingga lima keping semata-mata ingin merebut pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrul Nizam Abd Rashid, 24 dari Kampung Alor Lek, Setiu mencipta kejutan apabila muncul pemenang cabutan bertuah, sekali gus membawa pulang kereta jenis Perodua Viva.

Post a Comment