BERITA TERKINI

Friday, 4 April 2014

Pemilik kedai makan ditahan bersama 64 bungkus air ketum

Advertisement
KUANTAN -  Pemilik sebuah kedai makan dan tiga rakan ditahan bersama 64 bungkus dan dua botol cecair disyaki air ketum hasil pemeriksaan ke atas bahagian dapur sebuah kedai di Tanah Rata dekat Cameron Highlands, awal pagi semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.10 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semasa menjalankan  Ops Tapis di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, suspek dipercayai memproses dan menjual minuman air ketum kepada penagih dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai makan.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian dapur kedai terbabit, polis menemui tiga tong plastik mengandungi 59 bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum.

“Sementara satu lagi tong mengandungi lima bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum.

“Polis turut menemui dua botol minuman 1.5 liter juga berisi cecair sama dalam sebuah lagi tong di dapur kedai tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Wan zahari berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek menjual air ketum terbabit dengan harga RM6 sebungkus manakala RM10 bagi sebotol cecair ketum 1.5 liter.

“Siasatan bagaimanapun  mendapati kesemua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif sebarang jenis dadah.

“Ketiga-tiga rakan terbabit dibawa ke IPD Cameron Highlands untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Post a Comment