Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang di sebuah tempat letak kereta di kawasan perindustrian Kerteh itu, mangsa bersama empat kawannya baru sahaja pulang dari makan tengah hari dan mahu memarkir kereta.
Menurutnya, semasa tiba di kawasan meletak kenderaan dia dan rakan-rakannya tercium bau hangit di dalam kereta jenis Honda Civic EX yang mereka naiki itu.
“Jadi saya berhentikan kereta jauh dari kereta orang lain, namun secara tiba-tiba bara api sebesar kotak mancis jatuh di kaki saya dari dashboard dan saya pijak api itu untuk padamkannya.
“Saya serta kesemua rakan kemudian segera keluar dari kereta, lalu saya buka bonet enjin dan cuba cabut bateri untuk hentikan aliran elektrik tapi tak berjaya sebab nat wayar kepala bateri ketat.
“Saya tahan dua kereta yang lalu berdekatan untuk pinjam spanar, tapi mereka tak ada spanar,” katanya.
Dalam keadaan kalut itu, mangsa dan rakannya hanya mampu melihat asap keluar dari dashboard sebelum kereta terbakar.
Kira-kira lima minit selepas terbakar, kereta itu kemudiannya meletup menyebabkan mangsa dan rakannya yang berada sejauh lima meter dari kenderaan itu berlari menyelamatkan diri.
“Sejak saya guna kereta ini, ia tak pernah rosak sebab itu saya tak sangka jadi begini. Namun, saya tetap bersyukur sebab saya dan empat rakan terselamat,” katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM30,000.
Api yang membakar kenderaan itu dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat Petronas dengan menggunakan semburan buih sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat Kerteh.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, PBK II, Kamarudin Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kes itu pada jam 2.45 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.
“Pihak kami bergegas ke lokasi dengan kekuatan sebuah jentera dan enam anggota. Semasa tiba, api telah dipadamkan. Punca kebakaran bagaimanapun masih lagi dalam siasatan pihak kami,” katanya.
Post a Comment