BERITA TERKINI

Monday, 21 April 2014

Nekad berenang menyeberangi Sungai Golok elak diberkas

Advertisement
RANTAU PANJANG – Kerana takut dirinya diberkas oleh pasukan tentera di Pengkalan Haram Tok Awang, Khamis lalu, seorang lelaki bertindak nekad berenang menyeberangi Sungai Golok, di sini.

Musim panas yang melanda Negeri Kelantan ketika ini menyebabkan paras air di Sungai Golok surut dan memudahkan suspek meloloskan diri daripada tangkapan pihak berkuasa.

Kejadian pada jam 1.07 pagi itu disedari oleh lima anggota tentera yang mengawal sempadan apabila mereka terserempak seorang lelaki membawa bungkusan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, suspek melarikan diri menuju ke Thailand selepas dihampiri anggota tentera dan meninggalkan bungkusan dibawanya di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui tujuh pistol tiruan Air Soft Gun bersama kelopak, satu pistol tiruan model 357 4 inci bersama kelopak, empat kelopak tambahan, dua gari, lima botol Jet TS Car Gas, lapan kotak bebola besi, enam sarung pistol dan tujuh tin Super High Power Gas.

"Suspek didapati menggunakan laluan air cetek untuk keluar dan masuk sempadan negara tanpa menggunakan bot.

"Ketika kejadian, keadaan di Pengkalan Haram Tok Awang agak gelap dan kawasan berkenaan tidak mempunyai kemudahan lampu jalan," katanya.

Tambahnya, berikutan itu, anggota keselamatan yang bertugas tidak dapat mengenal pasti serta tidak dapat melihat wajah suspek dengan jelas.

Katanya, usaha untuk mengesan dan memburu suspek kini sedang giat dijalankan.

Post a Comment