Friday, 11 April 2014

Didakwa kerana pukul isteri dengan penyapu

Advertisement
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku bersalah di mahkamah majistret, di sini, semalam atas dakwaan memukul isteri menggunakan sebatang penyapu sehingga menyebabkan kecederaan.

Wan Mohd Ros’an Wan Su, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama itu di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi pada 7 April lalu, Wan Mohd Ros’an didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, Nafisah Awang, 34, di kediaman mereka di Kampung Tebauk, di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda.

Bagaimanapun, Wan Mohd Ros’an mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan melibatkan ugutan jenayah terhadap ibunya, Kutong Ali, 56, dalam kejadian jam 1.30 pagi pada tarikh dan lokasi yang sama.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Kutong menggunakan sebatang penyapu dan sebilah pisau bersarung dengan niat menimbulkan rasa cemas terhadap ibunya itu.

Sejurus pengakuannya direkodkan, Noradila membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Post a Comment