BERITA TERKINI

Friday, 4 April 2014

Bot nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

Advertisement
KUALA TERENGGANU – Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan asing Vietnam kerana menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram, Selasa lalu.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah, Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, Kapten Maritim Xavier Thevadas a/l Gnanapragasam berkata, tangkapan dilakukan bot Penggalang 16 yang diketuai Pegawai Waren II Maritim, Zulkifli bin Daud bersama lima anggota.

“Hasil pemeriksaan, kita dapati dua tekong dan 12 awak-awak di dalam bot itu tidak mempunyai sebarang dokumen sah. Semua mereka bersama bot, peralatan dan hasil tangkapan diiringi masuk ke jeti Pangkalan Kemaman untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu vesel nelayan asing menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta seorang bagi setiap nakhoda dan RM100,000 bagi tiap-tiap kru atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“APMM akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di perairan negara demi memastikan khazanah laut negara tidak dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Post a Comment