Daripada jumlah tersebut, 30 orang membabitkan murid sekolah rendah dan selebihnya pula sekolah menengah.
Masalah itu dikesan menerusi Program Muafakat Turun Padang, melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar di Pos Gob, dekat sini, pagi kelmarin.
Hadir sama, Adun Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani.
Sekolah yang dikenal pasti pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara dan SMK Sri Wangi.
Pegawai JAKOA Daerah Gua Musang, Mohd Zainal Abu Bakar berkata, program turun padang yang julung kali diadakan itu bertujuan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah keciciran pelajaran dalam kalangan anak Orang Asli kerana tidak hadir ke sekolah.
Menurutnya, ia platform terbaik untuk bertemu sendiri dengan ibu bapa bagi bertanyakan masalah yang mereka hadapi hingga menyebabkan tidak menghantar anak mereka ke sekolah, sama ada di sekolah rendah atau menengah.
“Malah, kita dimaklumkan ada anak mereka yang sudah dihantar ke sekolah terbabit tetapi ponteng, malah sanggup berjalan kaki pulang ke rumah mereka yang memerlukan masa sehari perjalanan.
"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, jadi pengetua dan guru besar yang turut serta pada program turun padang ini memberi nasihat kepada ibu bapa supaya menghantar anak ke sekolah kerana pelajaran penting untuk masa depan," katanya.
Mohd Zainal berkata, banyak kemudahan disediakan di sekolah terbabit yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Walaupun kedudukan Pos Gob paling jauh di pedalaman daerah ini, rombongan kita sanggup turun padang kerana bimbang semakin ramai murid dalam kalangan kaum Orang Asli gagal hadir ke sekolah seperti awal tahun ini selepas cuti pajang akhir tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Mat Yusoff pula berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) turut memainkan peranan menyelesaikan perkara itu.
Menurutnya, masalah tidak hadir ke sekolah membabitkan anak Orang Asli tidak sepatutnya berlaku pada zaman serba moden ini kerana kerajaan sudah menyediakan segala kemudahan untuk mereka termasuk tempat tinggal.
"Justeru, kita harap ibu bapa dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) beri perhatian serius terhadap perkara ini kerana ia untuk kemajuan anak mereka sendiri, lagi pun pelajaran menentukan peluang pekerjaan kelak,” katanya.
Post a Comment