BERITA TERKINI

Monday, 31 March 2014

Warga emas maut motosikal rempuh lori

Advertisement
SEREMBAN – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori di Batu 6, Jalan Pantai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Mahmood Jaafar, 60, dari Taman Cengal Utama, Paroi, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda CVR 250CC  dipercayai dalam perjalanan dari arah Pantai menghala ke Seremban.

“Sejurus tiba di selekoh tajam, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, mangsa merempuh sisi sebuah lori tanpa muatan yang dalam perjalanan dari arah Seremban ke Pantai,” katanya di sini, semalam.

Menurut jurucakap, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan.

“Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

“Kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kenderaan lain,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan kejadian.

Post a Comment