BERITA TERKINI

Friday, 14 March 2014

Warga emas hanya ingat mati ketika disamun

Advertisement
KOTA BHARU- “Saya hanya ingat mati ketika itu kerana semasa disamun dan dilarikan dalam kereta oleh empat lelaki, tiada sesiapa datang membantu,” kata mangsa, Mek Som Che Ali, 59.

Mek Som berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi kelmarin, dia sedang menyapu sampah di halaman rumah, manakala suaminya, Mohamed Mohamad Azhari, 63, yang menghidap angin ahmar sedang berehat di dalam rumah mereka di Kampung Dendang, Ketereh, di sini.

“Makcik tidak menyedari kehadiran empat lelaki itu yang tiba-tiba masuk ke halaman rumah makcik yang tidak berpagar dengan kereta dan menghalang laluan makcik yang sedang membongkok menyapu sampah.

“Hanya apabila tiga lelaki turun dari kereta, barulah makcik sedar dan dua daripada mereka memaut leher makcik dan heret makcik ke dalam kereta. Makcik nekad menahan pintu bahagian tempat duduk belakang daripada ditutup guna kaki tapi tak berjaya," katanya kepada media, semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Mek Som yang tinggal berdua bersama suami berkata, dia cuba melawan apabila ditarik masuk ke dalam kereta tetapi tindakan dua lagi lelaki yang berada di tempat duduk belakang menolak dan menekan badan serta kepalanya dengan kuat supaya terus tunduk ke bawah menyebabkan dia tidak mampu melawan.

“Makcik juga sempat jerit minta tolong tapi seorang penjenayah ugut jika makcik masih berkeras dan melawan, dia akan bunuh makcik.

“Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan makcik ketika itu, lagipun makcik tidak berdaya dan tidak mempunyai kudrat, hanya mampu berserah jika makcik mati di tangan penjenayah,” katanya.

Menurutnya, ketika didalam kereta,  dia mendengar salah seorang lelaki terbabit mengarahkan pemandunya  masuk ke sebuah lorong.

“Ketika itu, makcik masih meronta-ronta minta dilepaskan dan bertindak menyerahkan gelang yang dipakai.

“Mereka hanya mendiamkan diri dan sampai di satu kawasan, makcik disuruh turun selepas penjenayah merampas gelang tangan makcik. Mereka terus memecut kenderaan meninggalkan makcik yang kesakitan dalam keadaan muka, tangan dan kaki lebam serta berkaki ayam,” katanya yang mendakwa tiga lelaki terbabit mempunyai fizikal kurus dan seorang lagi berbadan sasa.

Mek Som kemudiannya diselamatkan seorang pemuda menaiki kereta Perodua Kancil yang membantunya menghantarnya pulang ke rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, kerugian dianggarkan RM3,500 dan empat suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic  menggunakan nombor pendaftaran palsu itu masih diburu.

Post a Comment