BERITA TERKINI

Wednesday, 5 March 2014

Seorang warga emas mati dibunuh

Advertisement
IPOH - Rutin harian seorang wanita melawat bapa mentua setiap hari membawa pada penemuan seorang warga emas yang mati dibunuh dengan kesan kelaran di leher di rumahnya di Taman Soon Choon di sini semalam.

Mangsa, Chan Yan Choi, 70, ditemui menantunya berusia 30-an pada pukul 7.55 pagi dalam keadaan terbaring berlumuran darah di dapur rumah teres setingkat itu.

Wanita berkenaan sebelum itu memanggil mangsa yang tinggal bersendirian selepas melihat pagar dan pintu rumah dalam keadaan terbuka.

Apabila ditinjau ke dalam rumah, dia mendapati bapa mentuanya terbujur di atas lantai sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada pukul 8.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kami menemui mangsa dengan kesan kecederaan keratan di leher.

"Mangsa dipercayai mati dibunuh pagi ini (semalam)," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Chang Keong berkata, pihaknya juga tidak menemui senjata digunakan suspek di tempat kejadian.

"Pemeriksaan di dalam rumah mendapati hanya dompet mangsa sahaja dilaporkan hilang manakala barangan berharga lain tidak dilarikan suspek.

"Terdapat duit di dalam rumah mangsa namun ia tidak dilarikan suspek malah tiada kesan pergelutan ditemui," katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat sama ada jenayah itu dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa berikutan tiada kesan pecah masuk selain pagar dan pintu rumah berada dalam keadaan terbuka.

Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Post a Comment