Mayatnya ditemui rakan mangsa dalam keadaan terlentang dengan kesan darah keluar dari kepala di ruang tamu rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mayat ditemui rakannya yang berusaha mencarinya selepas diminta berbuat demikian oleh ibu mangsa.
Mohd Kamal berkata, pihak polis bergegas ke lokasi selepas menerima laporan serta membawa mayat ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut selepas hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada open skull fracture secondary to fall from height dan tidak terdapat kesan kecederaan lain pada badan mangsa,’ katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati semua pintu rumah itu berkunci dan terdapat kesan cungkil pada satu tingkap dipercayai dilakukan mangsa untuk memasuki rumah berkenaan.
Katanya, terdapat juga kesan pemotongan pada pendawaian suis di tepi dinding berhampiran tempat mangsa ditemui terbaring dan wayar seperti ditarik ke atas siling.
“Kita mengesyaki mangsa naik ke atas siling melalui lubang siling yang tersedia dan menghampiri suis utama untuk menarik dawai ke atas.
“Mangsa sempat menarik dawai elektrik ke atas sebelum terpijak siling yang menyebabkan siling pecah sehingga mangsa jatuh ke lantai setinggi kira-kira 13 kaki.
Mohd Kamal berkata, menerusi maklumat diperoleh daripada jiran berhampiran, rumah itu tidak didiami sejak beberapa tahun lalu dan anak tuan rumah dikatakan bercadang untuk tinggal di situ.
“Pemilik asal rumah itu sudah lama meninggal dunia, kesan pendawaian elektrik baharu terdapat dalam rumah itu kerana anaknya bercadang untuk tinggal di situ,’ katanya.
Post a Comment