Bapa, Law Kim Hoong, 48 berkata, anaknya, Law Hui Ling tidak dapat dihubungi selepas keluar dari rumah bersama teman lelakinya kira-kira jam 9.30 malam pada 21 Mac lalu.
"Ketika dia keluar, saya dan isteri tiada di rumah kerana bekerja, kami juga tidak mengenali lelaki yang keluar bersamanya.
"Kami cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjaya," katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari anak keempat dari lima beradik itu termasuk menyebarkan maklumat melalui laman sosial Facebook, namun masih menemui jalan buntu.
"Beberapa hari lalu dia ada menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya dan meminta agar kami tidak mencarinya. Dia juga mengugut mahu membunuh diri.
"Dia memberitahu kini berada di Skudai dan mahu berkahwin dengan teman lelakinya serta mahu memulakan kehidupan sendiri.
"Selepas menerima SMS berkenaan saya cuba mencarinya di Skudai dan kawasan berdekatan tetapi tidak berjaya menemuinya," katanya.
Kim Hoong yang bekerja di sebuah kilang di sini berkata, walaupun sering keluar bertemu rakan di luar tetapi anaknya itu tidak pernah meninggalkan rumah tanpa pengetahuan keluarga sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, dia segera membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada 23 Mac lalu kerana bimbang perkara buruk menimpa anaknya.
Dalam pada itu, dia turut berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar segera menghubunginya di talian 0177592331.
"Saya berharap Hui Ling segera pulang ke rumah dan kami bersedia berbincang dengannya mengenai hasrat untuk berkahwin dengan teman lelaki.
"Sebelum ini kami pernah menasihatkan dia agar tidak meneruskan hubungan dengan lelaki berkenaan kerana bimbang dia dipermainkan," katanya.
Sementara itu, Adun Senai, Wong Shu Qi turur berharap orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil memberi kerjasama untuk membantu keluarga Hui Ling menjejaki gadis itu.
Post a Comment