BERITA TERKINI

Monday, 31 March 2014

Asrama Kolej Safa terbakar

Advertisement
KUALA TERENGGANU - “Saya ingatkan bahang panas yang terasa tiba-tiba itu kerana saya demam, tetapi sejurus membuka mata, saya terkejut kerana bahang itu rupanya datang daripada api yang sedang marak di katil sebelah,” demikian cerita Mohd Syahir Syafaat Hamzah, 19.

Mohd Syahir Syafaat, pelajar kursus Pra-Diploma Sistem Komputer Kolej Safa antara  10 pelajar yang tinggal sehelai sepinggang selepas asrama dua tingkat di Pulau Kambing, di sini, musnah dalam satu kejadian kebakaran, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu dipercayai berpunca litar pintas daripada salah satu plug yang berada di asrama tersebut.

Semasa kejadian, hanya Mohd Syahir Syafaat yang tinggal di asrama berkenaan selepas tidak ke kelas kerana demam dan hanya berehat di asrama sebaik rakan-rakannya yang lain ke kelas.

“Saya demam, tak dapat ke kelas.. selepas rakan keluar, saya tidur. Kira-kira jam 11.40 pagi, tiba-tiba saya rasa membahang.. saya sangka demam makin teruk.

“Tetapi apabila buka mata, saya nampak api marak dari belakang asrama dan dekat benar dengan katil saya. Walaupun panik...tapi saya masih mampu bertindak.

“Saya ambil alat pemadam api dan cuba padamkan api tapi gagal,”  katanya.

Mohd Syahir Syafaat kemudiannya berlari keluar untuk meminta pertolongan jiran dan menghubungi pihak bomba.

Dia yang berasal dari Kampung Mak Chili, Kemaman itu juga menghubungi rakan lain di kolej agar pulang menyelamatkan barang masing-masing.

Namun, jarak asrama dengan kelas pengajian kira-kira satu kilometer itu membuatkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa.

“Semua dokumen, sijil dan komputer hangus.. tidak ada satupun yang dapat selamat,”  katanya ketika ditemui semalam.

Jelas Mohd Syahir yang juga ahli Kelab Berbasikal daerah Kemaman, dia reda tinggal sehelai sepinggang, namun apa yang membuatkan dia terlalu sedih apabila basikal pemberian bapanya, Hamzah Idris, 51, sebagai peniup semangat untuknya menyertai ‘Sport Excel Terengganu’ akhir April ini turut tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Fauzi Muda berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.31 pagi dan tiba di lokasi kejadian dengan kekuatan 17 anggota bersama tiga jentera.

Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya 15 minit kemudian dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Post a Comment