BERITA TERKINI

Wednesday, 26 February 2014

Suami isteri disamun dua lelaki bertopeng

Advertisement
PASIR MAS - Sepasang suami isteri masih berada dalam keadaan trauma setelah disamun oleh dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan pisau di Kampung Kubang Pak Amin di sini, Ahad lalu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yah, 48, berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 5.45 pagi di rumahnya ketika dia dan suami sedang bersiap-siap untuk ke pasar borong di bandar Pasir Mas.

“Sudah menjadi rutin harian, kami berdua ke pasar borong setiap pagi bagi mendapatkan barangan untuk jualan kerana suami meniaga barangan basah dan kering dengan memasuki kawasan kampung menggunakan van.

“Kejadian berlaku terlalu pantas sehinggakan kami tidak sempat untuk berbuat apa-apa dan hanya mampu berselawat serta berdoa sahaja ketika itu,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian mereka didatangi oleh dua lelaki yang memakai topeng dari arah belakang sebelum salah seorang daripadanya  mengacukan pisau jenis Rambo ke arahnya.

Yah berkata, lelaki tersebut mengarahkannya supaya menyerahkan semua duit dan barang kemas jika mahu selamat.

Mujurlah ketika itu dia tidak memakai barang kemas dan hanya menyerahkan duit sahaja kepada mereka.

Pasangan tersebut juga berdepan detik cemas kerana salah seorang lelaki terbabit mengacukan pistol ke arah suami mangsa yang ketika itu mengemas barang di rumahnya.

“Lelaki tersebut juga meminta suami saya menyerahkan wang kepadanya dan demi keselamatan nyawa kami, suami menyerahkan kesemua wang yang akan digunakan bagi membeli barangan jualan,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat wang, kedua-dua lelaki tersebut terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Walaupun mengalami kerugian wang ringgit tetapi mereka tetap bersyukur kerana tidak diapa-apakan oleh kedua-dua penjenayah terbabit.

Selepas beberapa jam kemudian, Yah dan suami membuat laporan polis pada hari sama dan berharap pihak berkuasa dapat menangkap penjenayah terbabit.

“Kejadian ini kali kedua berlaku di rumah kami selepas sebuah motosikal  dicuri sebulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihaknya dalam usaha mengesan suspek terbabit .

Post a Comment