Insiden berlaku selang beberapa jam selepas perlawanan berakhir di mana empat buah bas membawa kira-kira 180 penyokong JDT dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dalam perjalanan pulang ke Johor memasuki pekarangan IPD Pekan bagi membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, kumpulan penyokong JDT tiba kira-kira jam 11.30 malam untuk membuat laporan berkaitan dakwaan pergaduhan serta kerosakan kenderaan dialami mereka selepas tamat perlawanan di Kuantan.
Menurut Yahaya, keadaan rombongan bas penyokong JDT tiba pada awalnya terkawal, namun penyokong Pahang yang menanti di hadapan IPD Pekan semakin ramai sehingga pihak berkuasa terpaksa meleraikan keadaan.
“Situasi menjadi semakin tegang apabila penyokong JDT dan Pahang kembali memulakan provokasi dan sekumpulan penyokong JDT bertindak keluar dari kawasan IPD Pekan.
“Tindakan provokasi berterusan mencetus pergaduhan secara fizikal antara penyokong kedua-dua pasukan sehingga menyebabkan beberapa penyokong dan orang awam tercedera,” katanya.
Yahya berkata, walaupun penyokong JDT membuat laporan polis berhubung dicedera dan dibaling objek keras, namun itu bukan alasan untuk mereka melepaskan diri daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Polis menahan seorang penyokong JDT di pekarangan IPD Pekan, kira-kira jam 12 tengah malam semalam, apabila melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa.
“Ketika laporan dibuat, kira-kira 200 penyokong Tok Gajah menunggu di luar IPD kerana tidak berpuas hati kononnya bas membawa penyokong JDT menghimpit motosikal dinaiki mereka hingga menyebabkan kecederaan.
“Kita bertindak pantas dengan mengawal keadaan supaya tiada insiden pergaduhan berlaku antara kedua penyokong. Kita meminta mereka bersurai atau dikenakan tindakan undang-undang dan semua penyokong JDT kembali menaiki bas dan bergerak pulang ke Johor diiringi kawalan pihak berkuasa.
“Polis menerima empat laporan berkaitan kejadian di Kuantan dan Pekan selain masih menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca serta melengkapkan perkaitan kejadian itu,” katanya.
Post a Comment