BERITA TERKINI

Saturday, 22 February 2014

Pusat servis tayar terbakar

Advertisement
MARANG – Dua rakan kongsi yang membuka sebuah pusat servis tayar, menanggung kerugian kira-kira RM40,000 setelah kedai mereka di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Binjai Rendah, di sini, terbakar awal pagi semalam.

Menurut seorang daripada pemilik kedai itu yang berusia 32 tahun, semasa kejadian, dia berada di rumah ibunya di Kampung Kubang Jambu, Kuala Terengganu dan hanya mengetahui mengenai kebakaran tersebut kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Jam 12 lebih, saya dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah (ibu) di Kubang Jambu mengenai kebakaran itu, dan kemudiannya bergegas ke tempat kejadian,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 1 Disember 2012.

Sementara itu, rakan kongsinya dikenali sebagai Mat berkata, kebakaran berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan keseluruhan kedai apabila hanya 40 peratus daripada kedai disewa itu terbakar.

Katanya, kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000.

“Selain bangunan, barangan yang musnah turut melibatkan tayar lama dan baharu, sportrim, peralatan servis tayar, alat pendingin hawa, minyak hitam serta pelbagai peralatan lain,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Kedua-dua mangsa turut memaklumkan, mereka tidak membuka pusat servis tayar itu sejak lebih dua bulan lalu dan tidak mengetahui punca kebakaran.

Malah, mereka juga mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis.

Sementara itu, Pegawai PGO bertugas, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mat Hassan berkata, seramai 13 anggota dari dua Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Marang dan Kuala Terengganu bergegas ke lokasi sebelum berjaya mengawal kebakaran.

Post a Comment