Sebelum itu, pemuda disyaki terlibat dengan penagihan dadah itu telah memaki-hamun dan melaungkan amaran akan menetak semua orang yang ketika itu berada tidak jauh darinya.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek mengamuk secara tiba-tiba sebelum mengambil sabit dan melibaskannya berulang kali ke arah orang ramai di hadapan rumahnya.
“Seorang jiran berusia 69 tahun yang baru tiba di rumahnya untuk bersiap ke masjid menunaikan solat Jumaat tiba-tiba dikejar oleh suspek.
“Warga emas itu disepak, ditetak pada bahagian belakang kepala dan kedua-dua pergelangan tangan. Anak saudara mangsa berusia 34 tahun yang melihat kejadian itu cuba membantu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pemuda yang cuba menyelamatkan nyawa bapa saudaranya itu turut mengalami kecederaan pada leher dan pergelangan tangan kanan.
Mohd Kamal berkata, suspek turut tercedera pada kepala kerana bergelut dengan keluarga mangsa sebelum dia berjaya ditangkap dan kesemua yang cedera dirawat di Hospital Tengku Anis.
"Lebih mengejutkan, ketika disoal siasat sepasukan polis, suspek mendakwa akan membalas dendam terhadap sesiapa sahaja yang memukulnya.
"Suspek juga memberitahu bahawa dia ada menyimpan pistol angin di rumah neneknya. Anggota polis kemudiannya bergegas ke sebuah rumah kosong di Kampung Gong Datok dan menemui bungkusan kain batik disembunyikan di belakang longgokan barang di ruang tamu," katanya.
Menurut Mohd Kamal, terdapat selaras senapang angin buatan sendiri bertulis 'Steven Air Rifle Automatic' dalam bungkusan tersebut dan senjata itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
Mohd Kamal menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan senapang angin kerana ia bukan barang mainan yang boleh disimpan atau digunakan sesuka hati.
Post a Comment