Mohamad Kamil Hamdi, 48, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung, kira-kira 5.15 petang.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa bagaimanapun sempat diberikan bantuan kecemasan oleh pihak hotel, namun meninggal dunia dan disahkan kematian sewaktu tiba di Hospital Port Dickson.
“Kira-kira jam 5 petang, mangsa yang tinggal sebilik dengan rakannya, seorang pemandu pelancong mengadu sakit di bahagian dada dan mengalami batuk, selain merasa kurang selesa.
“Ketika mahu berdiri, mangsa kemudiannya terjatuh lalu kepalanya terhantuk pada kerusi. Rakan mangsa sempat menghubungi pihak pengurusan hotel dan hospital untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Menurutnya, tiada sebarang kesan jenayah atau keadaan yang mencurigakan wujud di lokasi kejadian.
“Mayatnya dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jenazah Mohamad Kamil telah dituntut ahli keluarga semalam,” katanya di sini, semalam.
Rakan mangsa, Lee Then Seng, 51, berkata, dia terkejut dengan insiden yang menimpa rakan sekerjanya itu.
“Sebelum kejadian, Mohamad Kamil kelihatan sihat sebelum dia tiba-tiba batuk, sakit dada dan meninggal dunia.
“Kami tiba di hotel ini pada Ahad lalu membawa pelancong dari Taiwan. Kami dijadualkan menghantar mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam untuk penerbangan balik,” katanya.

Post a Comment