BERITA TERKINI

Sunday, 2 February 2014

Muara sungai ditimbus, 200 nelayan terjejas

Advertisement
Gambar hiasan.
KOTA BHARU - Lebih 200 nelayan dari tujuh kampung terjejas apabila muara sungai di Kampung Kuala Pak Amat di sini, ditimbus pasir sepanjang 100 meter ketika musim tengkujuh baru-baru ini.

Keadaan itu menyebabkan nelayan dari Kampung Baharu, Pulau Gorek, Pulau Panjang, Baung, Teluk Luas, Lepan Pari dan Tok Sadang tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.

Seorang nelayan dari Kampung Baharu, Abdullah Mohammad, 35, berkata dia sudah tiga minggu tidak dapat turun ke laut kerana bot mereka tidak dapat
melalui muara itu. 

"Jadi saya terpaksa mencari ikan di sungai bagi menampung perbelanjaan harian empat anak yang masih bersekolah kerana saya tidak boleh buat kerja
lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Jusoh Ismail, 74, pula berharap pihak berwajib dapat menangani masalah itu dengan membina benteng seperti yang dibuat di Tok Bali, Pasir Puteh, untuk mendalamkan muara sungai berkenaan.

"Langkah itu mampu menyelesaikan masalah ini daripada terus berulang pada masa hadapan kerana setiap kali musim tengkujuh kami menghadapi masalah yang sama.

"Kami tidak dapat mencari rezeki menangkap ikan di laut, walaupun cuaca baik disebabkan bot yang digunakan tidak dapat melepasi beting-beting pasir di muara sungai itu," kata Mohd Jusoh.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman berkata untuk menyelesaikan masalah berkenaan pihaknya menyewa dua jengkaut untuk mengorek pasir bagi membolehkan nelayan di kawasan itu keluar mencari rezeki.

"Saya akan berusaha dan bertemu dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan masalah tersebut daripada terus berulang di masa hadapan," katanya.

Post a Comment