Mayat Faris Danial Mat Jaafar, 17, ditemui sekumpulan 15 penduduk kampung yang memukat ikan tidak jauh dari tempat mangsa dipercayai lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Padang Tenggala di sini.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan dari Taman Seri Kerinau datang ke kampung berkenaan untuk mandi-manda kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.
Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, sebaik tiba mangsa terus berlari dan berenang ke tengah sungai dari beting pasir kawasan tersebut.
“Apabila tiba di tengah sungai, mangsa sedar arus semakin kuat dan cuba berenang patah balik tetapi gagal. Melihat keadaan itu, saya berenang untuk menyelamatkan mangsa.
“Namun apabila sudah hampir dengan mangsa, saya lihat mangsa seperti boleh menyelamatkan diri dan ketika itu saya ambil keputusan berpatah balik. Tetapi apabila menoleh semula ke belakang, saya dapati mangsa sudah tenggelam,” katanya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang berasal dari Taman Seri Kerinau datang ke tempat kejadian bersama tujuh rakannya untuk mandi di kawasan lapang itu.
Menurutnya, sebaik tiba di sungai itu, mangsa terus berlari dalam jarak 25 meter dari beting pasir dan tiba-tiba terjatuh ke dalam dasar sungai antara pertemuan Sungai Semantan dan Sungai Pahang.
“Mangsa cuba berenang menyelamatkan diri tetapi arus kuat menyebabkannya tenggelam di dasar,” katanya.
Abdul Aziz berkata, operasi mencari bermula jam 6.40 petang dan terpaksa ditutup jam 7.30 berikutan cuaca gelap.
Menurutnya, kebetulan sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari ikan berjaya menemui mangsa yang tersangkut pada pukat tidak jauh dari lokasi mangsa lemas.
Abdul Aziz menasihati pengunjung supaya menghentikan aktiviti riadah dan mandi di kawasan itu dan sepanjang Sungai Pahang kerana sangat berbahaya.
“Keadaan paras air sungai yang cetek hingga menampakkan pasir bukan bermakna kawasan ini selamat untuk mandi. Diharap orang ramai berhati-hati,” katanya.

Post a Comment