BERITA TERKINI

Saturday, 1 February 2014

Massa mencatat masa terpantas

Advertisement
JEREZ – Pemandu Brazil, Felipe Massa membuat kejutan pada hari terakhir sesi ujian pra-musim perlumbaan kereta Formula Satu (F1) apabila mencatatkan masa terpantas bersama jentera baharu Williams, FW36 di Litar Jerez semalam.
Beberapa jam selepas meluahkan rasa gembira selepas menyertai pasukan baharu itu, bekas pemandu Ferrari tersebut mengakui lebih berbangga kerana dapat mencatatkan masa terpantas untuk pasukan Williams.
“Ia merupakan hari yang hebat kerana hujan turun tetapi saya hanya melakukan beberapa pusingan sahaja ketika keadaan lembap, namun ia tetap membantu kami untuk memahami jentera ketika keadaan litar lembap, kesesuaian dengan tayar dan kuasa baharu enjin.
“Kami juga dapat melakukan lebih banyak pusingan kali ini berbanding tiga hari lepas dan saya tidak menghadapi masalah bersama jentera jadi ia satu petunjuk yang bagus untuk pasukan ini.
“Bagaimanapun, saya berharap dapat melakukan lebih banyak pusingan ketika sesi ujian di Bahrain nanti,” ujar Massa.
Mengulas lanjut mengenai pasukan baharunya itu, Massa berharap dapat mencatatkan keputusan yang lebih baik pada kempen F1 musim ini.
“Secara keseluruhan, saya gembira sejak hari pertama bersama Williams dan saya juga berpuas hati dengan persiapan pasukan sepanjang minggu ini.
“Sesi ujian ini penting bagi kami supaya saya dapat tampil dengan lebih kompetitif, namun ujian hanya ujian dan kami perlu lebih bersedia untuk sesi ujian di Bahrain sebelum bermulanya aksi pembuka tirai di Melbourne nanti,” tambah Massa.
Pemandu berusia 32 tahun itu mencatatkan masa 1 minit 28.229 saat untuk satu pusingan atas litar kering sekali gus meninggalkan bekas rakan sepasukannya, Fernando Alonso 0.196 saat.
Sesi ujian itu menjadi sukar untuk Alonso kerana dia yang beraksi lebih awal terpaksa menguji jentera ketika litar masih berada dalam keadaan lembap.
Keadaan hujan turut menjejaskan penampilan Nico Rosberg yang sebelum itu mencatatkan masa lebih pantas bersama jentera Mercedes, W05 dengan catatan masa 1:35.334 saat.


Post a Comment