BERITA TERKINI

Saturday, 22 February 2014

Kasih seorang ibu saudara

Advertisement
KUALA TERENGGANU – “Kalau boleh saya nak jaga mereka selagi termampu. Kalau esok-esok (kemudian) kakak dia dah besar dan sudah boleh jaga mereka, tak mengapalah, saya bagi je lah,” itu luahan kasih sayang seorang ibu saudara yang sanggup menjaga enam anak saudaranya yang kematian ibu sejak sebulan yang lalu.

Mek Shariah Awi, 49, mula menggalas tanggungjawab itu selepas ibu kepada enam beradik yang 13 bulan hingga 21 tahun itu meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi dan kencing manis, Januari lalu.

“Sekarang kakak sulung mereka, Nurul Azieanty Abdul Wahab sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah dan akan tamat dalam masa dua tahun setengah lagi.

“Ayah mereka ada juga datang jenguk anak-anak kat sini. Dia bekerja bawa lori, susah sikit kalau kena keluar bekerja, siapa nak jaga mereka. Lagipun anak-anak arwah rapat dengan saya sebab mereka selalu juga datang ke sini sebelum ini, tak jadi masalah sangat kalau tinggal dengan saya,” katanya.

Mek Shariah berkata demikian ketika ditemui di rumahnya pada misi Penyampaian Sumbangan Program Kebajikan 1Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kampung Losong Haji Long, di sini.

Hadir sama, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri, Rohayu Ahmad dan Pengarah Imigresen Negeri, Azhar Abdul Hamid.

Turut serta dalam program itu ialah agensi-agensi di bawah KDN negeri, antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Jelas Shariah yang berstatus ibu tunggal sejak kematian suami tiga tahun lalu, dia turut mempunyai enam orang anak yang tinggal bersamanya, berusia 10 hingga 23 tahun.

“Apa yang saya makan, mereka makanlah walaupun pendapatan saya tidak seberapa. Selain menjual umpan udang di rumah, ada masa saya tolong apa yang patut di warung depan rumah.

“Syukur Alhamdulillah, setakat ini ramai yang membantu mereka enam beradik. Hasil sumbangan orang ramai itulah saya guna untuk belanja keperluan mereka terutama yang bongsu, Muhammad Adam Danish yang masih memerlukan susu dan lampin pakai buang,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, bantuan yang dihulurkan kesemua 11 agensi di bawah KDN negeri itu adalah bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Mungkin orang ramai hanya tahu, apabila melibatkan KDN mereka akan fikir tugas kami dari segi penguatkuasaan sahaja, tetapi sebenarnya dalam waktu sama, kami juga ada program kebajikan seperti ini.

Post a Comment