Bagaimanapun tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat mengawal api daripada merebak berjaya menyelamatkan rumah-rumah berdekatan seterusnya menyelamatkan harta benda bernilai lebih RM500,000.
Mangsa kebakaran, Mohd Bisyru Anumi, 29, berkata, hasratnya membawa pulang bakal isteri ke rumah sendiri pada akhir Mac ini tidak kesampaian apabila rumahnya musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, dia tinggal bersama seorang rakan yang juga saudara terdekat di rumah pusaka peninggalan neneknya itu.
“Ketika kejadian saya berada dalam bilik sambil mendengar radio. Tidak lama kemudian terdengar bunyi macam kayu terbakar dan apabila keluar, saya lihat api marak di ruang tamu rumah.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus lari keluar sambil memanggil rakan yang sedang mandi di bilik air. Kami lari sehelai sepinggang tanpa sempat ambil apa-apa,” katanya.
Selain bomba dan anggota penyelamat, orang ramai turut memberikan bantuan awal bagi memindahkan kenderaan dan barangan kelengkapan rumah di kediaman berdekatan.
Mohd Bisyru memaklumkan, majlis perkahwinannya dijangka berlangsung pada 23 Mac ini di kediaman pihak perempuan dan 28 Mac di rumahnya, di sini.
Mohd Bisyru berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di ruang tamu rumah sebelum merebak ke bahagian lain.
Dia turut memaklumkan, rumah berkenaan tidak mempunyai dapur gas memandangkan dia tinggal berdua bersama rakannya dan mereka tidak tahu memasak.
Sementara itu, rakannya, Mohd Azhar Ariffin, 26, memberitahu, dia tinggal di rumah itu sejak lima tahun lalu untuk menemani Mohd Bisyru.
“Selain kawan, kami juga mempunyai hubungan saudara. Saya dengar bunyi pelik tetapi tidak mempedulikannya sehinggalah melihat api sedang marak. Saya keluar menyelamatkan diri dengan hanya memakai tuala,” katanya.
Jiran yang juga saudara Mohd Bisyru, Roslaila Abu Bakar berkata, hampir 50 peratus rumahnya rosak akibat kejadian tersebut apabila api merebak melalui siling rumah.
Katanya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan bergegas pulang apabila dimaklumkan ada kebakaran di kawasan berdekatan rumahnya.
“Saya terus keluar pejabat tanpa sempat memaklumkan kepada majikan memandangkan ibu saya tinggal keseorangan di rumah adik saya yang juga terletak berdekatan tempat kejadian.
"Saya bimbangkan keselamatan ibu saya memandangkan dia kurang sihat dan tinggal seorang diri. Mujur kakak saya yang juga tinggal berdekatan tidak bekerja hari ini (semalam) dan dia segera menyelamatkan ibu kami," katanya.
Tambah Roslaila, bahagian dapur rumahnya baharu siap ditambah baik dua bulan lalu dengan kos RM50,000, namun dia reda menerima ujian itu dan bersyukur kerana tiada kecederaan atau kehilangan jiwa berlaku akibat kejad
Kakak Roslaila, Noriah pula berkata, dia berlari pulang ke rumah apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut memandangkan pejabatnya terletak berdekatan tempat kejadian.
Menurutnya, rumah mereka adik beradik terletak berdekatan antara satu sama lain dan api mudah merebak jika berlaku kejadian seumpama itu.
"Nasib baik kami anak beranak selamat, Masing-masing bimbangkan emak yang tinggal berseorangan di rumah adik saya ketika kami semua keluar bekerja. Kami ucap terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami menyelamatkan harta benda dalam kejadian ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd Zulkifli Osman berkata, kerugian dianggarkan berjumlah RM300,000 membabitkan empat rumah (terbakar dan rosak).
Katanya, pasukan bomba mengambil masa 18 minit untuk mengawal kebakaran dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11 pagi.
"Kami terima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi dan tiba di lokasi kejadian seminit kemudian. Operasi melibatkan kekuatan 12 anggota bersama tiga jentera termasuk daripada bomba sukarela.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kami alami kesukaran memandangkan jalan masuk ke kawasan rumah terbabit sempit dan terpaksa mengambil air dari pili bomba yang terletak kira-kira 250 meter dari tempat kejadian," katanya.
Tambahnya, tekanan air juga rendah namun ia dapat diatasi dengan bantuan pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Post a Comment