BERITA TERKINI

Saturday, 1 February 2014

Gandingan mantap

Advertisement
BAGI anda yang pernah mengikuti filem Journey to the West, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan prekuel filem tersebut menerusi The Monkey King.

Filem yang digarap mengikut kepercayaan masyarakat Buddha ini diarahkan oleh Soi Cheang ini dibarisi oleh pelakon hebat seperti Donnie Yen, Chow Yun-Fat, Aaron Kwok, dan turut dijayakan oleh Joe Chen, Peter Ho, Kelly Chen, Zhang Zilin, dan Gigi Leung.

Kali ini, ia membawa penonton mengikuti kisah tentang Sun Wukong ( The Monkey King) merupakan seekor monyet yang dilahirkan di batu syurga yang mempunyai kuasa ajaib.

Selepas dipenjarakan di dalam hutan selama 500 tahun, Sun Wukong telah menemani sami Xuanzhang yang ingin ke India. Dalam pengembaraannya ke India, dia telah menghadapi pelbagai kesukaran dan telah berlawan dengan tentera tuhan dan tentera syaitan untuk pergi ke syurga.
 
Filem yang diadaptasi dari novel Journey to the West ini agak berbeza dari filem yang sebelumnya di mana filem tersebut turut menyelitkan aksi komedi.

Namun dalam The Monkey King, pada pandangan penulis, filem ini lebih sarat dengan aksi-aksi yang meliputi aksi terbang dan pertarungan antara dewa dan syaitan.


Lakonan hebat

Bukan sahaja menjadi pelakon utama, Donnie juga turut menunjukkan bakat dalam bidang pengarahan dan menjadi pengarah bagi babak-babak aksi.

Maka tidak hairanlah jika ada akan dapat melihat babak pertarungan yang cukup mantap, biarpun pembikinan filem ini banyak dijalankan di dalam studio.

Bukan itu sahaja, penghayatan lakonan Donnie, Yun-Fat dan Aaron sememangnya cukup baik dan anda akan merasai sendiri emosi marah, suka, duka yang dirasai di dalam filem ini.

Apatah lagi, meletakkan Donnie sebagai teraju utama, maka pembawaan cerita dari mula hingga penghujung, cukup meyakinkan. Bukan sahaja handal beraksi, Donnie juga turut menampilkan sisi lain dalam lakonannya apabila sesekali membuat lawak dalam filem ini.

Mungkin kerana memakai kostum seperti monyet, membuatkan ada ketikanya dia cukup bersahaja dan mencuit hati.

Kurang realistik

Namun dek kerana 90 peratus babak dalam filem ini melibatkan Imej Janaan Komputer (CGI), justeru, penonton letakkan ke tepi perkara yang melibatkan realiti.

Ada ketikanya, pemandangan atau babak yang melibatkan CGI cukup cantik dan mengkhayalkan, tetapi ada ketikanya, beberapa babak kelihatan agak kaku dan seperti filem animasi.

Bagaimana kekurangan itu di tutup dengan babak aksi dan pertarungan yang cukup hebat.

Dari sudut perjalanan jalan cerita atau pergerakan plot, pada pandangan penulis, ada ketikanya ia kelihatan konsisten, namun ada ketikanya agak perlahan dan membosankan.

Namun secara keseluruhan, ia masih sebuah filem menarik untuk ditonton bersama seisi keluarga, terutamanya masyarakat Cina ketika cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Post a Comment