Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, mangsa Konstabel/SP Mohamad Ridzuan Mazlan, 28 dari Perumahan Indera Sempurna dekat sini patah tulang betis kanan dan cedera di bahagian tangan serta muka.
Mangsa yang juga kakitangan mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menerima rawatan bagaiman pun keadaannya dilaporkan stabil.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, remaja berusia 17 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah menengah dekat sini dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang bertugas membantu anggota polis cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan melakukan sekatan jalan dalam Ops Banteras Samseng Jalanan di lokasi tersebut.
“Remaja terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Kuantan menghala ke Gambang terkejut apabila menyedari kehadiran polis membuat sekatan jalan berhampiran jejantas persimpangan Permatang Badak.
“Dia yang panik bertindak membuat pusingan U secara melulu untuk berpatah balik menghala ke Kuantan lalu melanggar mangsa yang ketika itu berada di atas pembahagi jalan,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa di HTAA semalam.
Mohamad Noor berkata, akibat rempuhan itu mangsa dan remaja terbabit tercampak ke atas jalan.
“Dalam kejadian itu, Mohamad Ridzuan yang juga bapa kepada seorang anak berusia empat bulan mengalami cedera parah manakala remaja terbabit hanya cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati, remaja terbabit menunggang motosikal yang dibeli keluarga untuk berulang alik ke sekolah bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Beliau berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu.

Post a Comment