Lelaki terbabit dipercayai sedang melakukan kerja rutinnya sebagai buruh di tapak pembinaan berkenaan sebelum secara tiba-tiba terjatuh dan bahan binaan menimbusnya.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Penguasa Bomba Kanan II, Omar Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.48 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian di Peserai, di sini.
Menurutnya, dirinya bersama enam anggota tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian untuk kerja menyelamat, namun setibanya di tempat kejadian, mangsa sudah dikeluarkan oleh dua lagi rakannya.
“Sampai sahaja di lokasi kejadian, seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Sayun, 40, sudah tidak lagi bernyawa dan mayat mangsa sudah dikeluarkan oleh dua rakan sekerjanya.
“Punca kejadian dipercayai mangsa terjatuh ke dalam lubang tangki septik berkenaan akibat dihempap bahan binaan sebelum tertimbus dengan tanah di lubang yang mereka gali.
“Mangsa juga dipercayai termasuk ke dalam lubang yang mempunyai tanah liat dan lemas setelah terjatuh dan tertimbus yang menyebabkannya mati di lokasi kejadian,” katanya, di sini semalam.
Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Supandi, 35, memberitahu, dia terdengar rakannya menjerit meminta tolong setelah terjatuh ke dalam lubang berkenaan.
Katanya, sebaik melihat rakannya tertimbus, dia dan seorang lagi rakan cuba menyelamatkannya, namun mengalami kesukaran akibat tanah di kawasan tapak pembinaan itu jenis tanah liat.
“Susah saya menarik untuk mengeluarkan mangsa, tetapi kira-kira 10 minit, kami berjaya mengeluarkannya. Tetapi dia sudah tidak lagi bernyawa lagi, mungkin lemas tertimbus tanah liat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Mat Razali Awang mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa kini dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail(HSNI) untuk tindakan selanjutnya.
Post a Comment