Bukan sahaja pernah ditayangkan di layar perak, karya RoboCop juga pernah diadaptasi ke rancangan animasi dan menjadi hero kepada ramai kanak-kanak mahupun remaja pada ketika itu.
Apatah lagi, filem yang berunsur teknologi pada ketika itu, begitu diminati hingga membuatkan RoboCop berjaya mencetuskan fenomena tersendiri.
Bagaimanapun bagi generasi muda, RoboCop barangkali sedikit asing, namun itu bukan menjadi satu alasan untuk anda tidak menontonnya.
Sedikit info, RoboCop diterbitkan kali pertama pada 1987, kemudian diikuti sekuel filem berkenaan iaitu RoboCop 2 pada 1990 dan RoboCop 3 pada 1993.
RoboCop mengisahkan seorang pegawai polis ditimpa kemalangan paling teruk apabila keseluruhan anggota badannya hampir musnah selepas terbakar akibat keretanya meletup.
Kebetulan sebuah syarikat gergasi sedang mencari penyelesaian terbaik sebuah teknologi ciptaan terbaharu mereka dan melihat kemalangan Alex Murphy itu sebagai satu kesempatan.
Bermulalah hidup Alex menjadi seorang manusia robot yang mana dalam pada berkhidmat untuk membanteras kejahatan, dia turut tercari-cari punca sebenar bagaimana dia boleh terbabit dalam rancangan itu.
Lebih canggih
Kini selepas 10 tahun, RoboCop kembali menerusi filem 'remake', bukan sahaja sesuai ditonton untuk peminat setiap hero polis tersebut, bahkan generasi baharu yang tidak sempat merasai sendiri bahang kehangatan kecanggihan manusia yang dicantumkan dengan robot.
Menerusi RoboCop 2014, aktor kelahiran Sweden-Amerika, Joel Kinnaman diberikan tanggungjawab untuk membawakan watak utama sebagai Alex J Murphy.
Biarpun namanya tidak segah beberapa pelakon terkenal Hollywood, namun kepercayaan pihak penerbitan dan pengarah filem ini, Jose Padilha, tidak mustahil Kinnaman bakal mendapat limpahan populariti seperti pelakon lain.
Begitu juga dengan watak utama di mana aktor seperti Peter Weller (1983 & 1990) dan Robert John Burke (1993) yang mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dipilih berdasarkan bukan populariti sebaliknya kebolehan mengangkat watak itu.
Bukan sahaja meletakkan pelakon baharu, RoboCop versi 2014 turut disuntik dengan elemen sut robot yang lebih canggih dan sesuai dengan peredaran masa kini.
Bukan sahaja rekaan yang berlainan, warna sut RoboCop juga disuntik dengan warna baharu agar kelihatan lebih gah dan hebat.
Usaha Kinnaman
Sebagai orang baharu, pada pandangan penulis, Kinnaman cukup berjaya menterjemahkan emosinya di dalam filem ini.
Digambarkan sebagai anggota polis yang jujur, serta bapa dan suami yang cukup penyayang, Kinnaman sebagai Alex J Murphy terpaksa akur untuk hidup sebagai separa robot dan berpisah sementara dengan keluarganya demi kelangsungan hidup selepas terlibat dalam insiden cubaan membunuh dirinya.
Di sinilah, Kinnaman perlu banyak bermain dengan emosi apabila dia yang tiga bulan koma, perlu menerima hakikat terpaksa hidup dalam tubuh robot.
Turut dibantu dengan kehadiran pelakon hebat seperti Gary Oldman, Samuel L. Jackson, Abbie Cornish, Michael Keaton, menjadikan RoboCop 2014 cukup kuat dari segi lontaran emosi dan lakonan para pemain didalamnya.
Kurang aksi
Namun sayangnya, mungkin kerana penangguhan dan pertukaran beberapa kali tenaga produksi seperti pengarah dan penerbit membuatkan RoboCop 2014, tidak segah filem sekuelnya yang terdahulu.
Dengan plot yang sedikit perlahan, filem ini juga tidak memaparkan lebih aksi, yang barangkali seperti yang anda idam-idamkan.
Kerana pada pandangan penulis, RoboCop 2014, lebih terarah kepada permainan emosi antara Alex, isteri, anak dan juga doktor yang merawatnya.
Pergerakan plot yang tidak konsisten membuatkan ada ketikanya filem ini terasa bosan untuk di tonton dan bila tiba di babak-babak tertentu, ia menjadi sebuah filem yang cukup menakjubkan dan tidak sesuai di tonton.
Namun bagi anda yang ingin menilai dan merasai sendiri emosi dan jalan cerita yang dipaparkan, jangan lupa untuk menyaksikan RoboCop 2014 di pawagam berdekatan.
Post a Comment