BERITA TERKINI

Sunday, 28 September 2014

Pelajar tingkatan tiga maut diseret treler

Advertisement
BACHOK - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kampung Mujur di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, penunggang motosikal, Nurin Sofiah Che Mazidy, 15, mati di tempat kejadian selepas diseret treler sejauh 50 meter sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu.

Pembonceng, Siti Nurul Yusrina Rusdi, 15, yang parah pula dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, ketika kejadian, motosikal jenis Kriss Modenas yang dinaiki mangsa dari Bachok menghala ke Jelawat.

Difahamkan, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok yang berasal dari Kampung Loak Bekelam itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Setiba di tempat kejadian, Nurin Sofiah tiba-tiba dipercayai mengubah laluan dari kiri ke kanan jalan menyebabkan treler di belakang mereka tidak sempat mengelak.

"Akibatnya, pemandu treler terlanggar motosikal mangsa sebelum mengheret Nurin Sofiah," katanya di sini semalam.

Menurut Abdul Hamid, pemandu lori berusia 30 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan lelaki itu kemudian membuat laporan polis.

Post a Comment