BERITA TERKINI

Sunday, 28 September 2014

Impian berkecai di tangan Lin Dan

Advertisement
INCHEON - Kontinjen Malaysia kempunan lagi.


Semalam, impian memburu pingat emas menerusi pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akhirnya berkecai apabila ditewaskan seteru utama, Lin Dan dari China pada peringkat separuh akhir acara badminton perseorangan lelaki di Gimnasium Gyeyang.

Chong Wei tumpas dengan keputusan rubber set 20-22, 21-12 dan 9-21 dalam perlawanan selama 72 minit, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Kekalahan itu juga mengulangi skrip final temasya 2010 di Guangzhou apabila Chong Wei sekadar berpuas hati dengan pingat perak apabila turut ditewaskan Lin Dan.

Lebih malang, Chong Wei sendiri juga terpaksa menerima hakikat gagal meraih sebarang pingat emas peribadi sepanjang temasya Sukan Asia apabila sekadar meraih satu perak dan empat gangsa sejak temasya 2006 di Doha.

Mengakui ini merupakan penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia, Chong Wei, 32, juga tidak memiliki sebarang jawapan sama ada kemarau emas 44 tahun negara dalam acara perseorangan lelaki bakal berakhir pada temasya 2018 di Jakarta kelak.

"Saya tidak akan menyertai Sukan Asia selepas ini, cukup-cukuplah.

"Memang sayang apabila langsung tidak berpeluang mengecap pingat emas Sukan Asia setakat ini, namun saya telah berusaha memberikan yang terbaik.

"Saya tidak tahu sama ada pemain lain ada peluang dapat emas atau tidak di Jakarta, (Chong) Wei Feng pun sudah berusia 31 tahun ketika itu.

"Jadi, saya harap ada pemain muda yang mampu melakukannya empat tahun lagi," katanya kepada pemberita semalam.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mengutip emas acara badminton perseorangan lelaki ialah pada temasya 1970 di Bangkok menerusi mendiang Datuk Punch Gunalan.

Pingat emas terakhir acara badminton di Sukan Asia pula disumbangkan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menerusi acara beregu lelaki pada temasya di Doha pada 2006, sekali gus menamatkan penantian selama 36 tahun.

Dengan keputusan itu, hanya empat gangsa yang disumbangkan acara badminton pada temasya kali ini termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki); Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan juga acara berpasukan lelaki.

Mengulas mengenai aksinya semalam, Chong Wei mengakui kehilangan fokus meskipun selesa mendahului 11-5 satu ketika pada set pertama sekali gus menjadi punca kekalahannya di tangan Lin Dan semalam.

"Amat sayang kerana saya sudah selesa mendahului jauh pada set pertama, namun saya mula kehilangan konsentrasi apabila Lin Dan semakin bersemangat sebelum dia menyamakan kedudukan dan seterusnya meraih kemenangan.

"Apabila dia kembali beraksi dengan bagus, saya gagal menyaingi corak permainannya yang semakin pantas.

"Biarpun kembali memenangi set kedua, tidak banyak yang boleh saya lakukan sebaik ketinggalan jauh 2-7 pada set penentuan," katanya.

Ia merupakan kekalahan ke-23 Chong Wei di tangan Lin Dan dalam 32 pertemuan setakat ini, selain turut tumpas dalam aksi terakhir mereka pada final Kejohanan Dunia di Guangzhou, China tahun lepas.

Chong Wei memberitahu, dia belum membuat sebarang perancangan selepas ini dan mahu menghabiskan masa bersama keluarga terlebih dulu.

"Saya mahu cuti dulu. Nanti balik saya akan tengok semula video perlawanan untuk menilai kelemahan," katanya.

sourceArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3EdcT4Y7S Hakcipta terpelihar

Post a Comment