BERITA TERKINI

Friday, 27 June 2014

Mangsa kereta terbang meninggal dunia

Advertisement
KEMAMAN – Selepas tiga hari koma, mangsa kemalangan yang jatuh dari Jambatan Bukit Kuang berketinggian 15 meter, meninggal dunia pagi semalam ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

Mangsa, Nazlie Ali, 27, yang beralamat di Kampung Padang, Merchang, Marang disahkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 pagi akibat pendarahan otak.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa dituntut keluarga kira-kira jam 2.15 petang dan dimandikan di Surau Air Putih di Kuantan, sebelum dibawa pulang untuk disemadikan di kampung halaman Allahyarham.

Dalam nahas tragik Selasa lalu, Nazlie cedera parah dan tidak sedarkan diri sebaik kereta Proton Satria Neo yang dipandu sendirian, terbang sejauh 20 meter dari jambatan paling tinggi di Pantai Timur itu dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang.

Sebelum nahas, mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Marang ke Chukai, dikatakan bergesel dengan sebuah lori di lorong kiri ketika melalui selekoh atas jambatan itu, hingga menyebabkan kenderaannya hilang kawalan lalu melanggar besi pengadang dan meluncur sejauh 20 meter ke bawah jambatan.

Mangsa yang tercampak keluar daripada keretanya yang remuk, dikejarkan segera ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman sebelum dipindahkan ke HTAA beberapa jam kemudian.

Beberapa orang yang berada di lokasi kejadian yang menggemparkan pengguna jambatan itu, turut menyebarkan gambar kemalangan tersebut ke laman sosial, sebelum tersebarnya poster kononnya mangsa adalah seorang daripada tiga suspek kes samun bersenjata dan rogol, serta sangat dikehendaki polis.

Bagaimanapun, Che Suza berkata, spekulasi itu tidak benar kerana hasil semakan dibuat pihaknya mendapati, nama mangsa tiada dalam senarai orang dikehendaki.

“Jadi, saya nasihati orang ramai agar tidak mudah membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat di laman sosial tanpa mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan.

"Langkah itu bagi mengelakkan tersebarnya fitnah yang boleh memberi kesan kepada pihak yang didakwa,” katanya.

Post a Comment