Kisah peragut dan rokok:
Kisah benar berlaku di Tumpat pada 14 Oktober 2014. Kisahnya, seorang lelaki yang menaiki basikal dan berkain pelekat meragut beg tangan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun. Lelaki tersebut mengugut akan mencederakan remaja berkenaan dan kemudian melarikan diri dengan mengayuh basikalnya bersama hasil ragutan di dalam beg tangan berupa telefon bimbit dan wang tunai RM200.00
Remaja mangsa ragut itu kemudian memberitahu orang kampung berdekatan. Hasil maklumat itu, orang kampung mengejar peragut berkenaan. Peragut menyedari dirinya dikejar, berusaha melarikan diri. Namun, nasibnya malang apabila kain pelekatnya tertanggal dan berjaya ditangkap penduduk kampung. Dia dibelasah oleh orang kampung hingga hidung berdarah.
Perbuatan meragut semakin menjadi-jadi. Golongan wanita paling banyak menjadi mangsa. Amat malang, mangsa bukan saja kehilangan sesuatu yang diragut, bahkan mereka turut mengalami kecederaan dan ada sehingga menemui ajal.
Atas sebab itulah, masyarakat begitu marah pada peragut. Jika ditangkap, mereka akan menerima padah dibelasah dan didera. Bahkan, akibat tidak dapat mengawal kemarahan, ada peragut yang belasah sehingga meninggal dunia. Namun, peragut tidak ambil pengajaran, sebaliknya kes ragut terus berlaku.
Kembali kepada kisah di atas, gambar peragut dalam keadaan separuh bogel dan menunjukkan kesan darah di hidung tersebar meluas di media sosial. Pada saya, apa yang menarik ialah kelihatan peragut itu memegang sebatang rokok. Tidak pasti rokok itu miliknya sendiri atau diberikan oleh orang lain sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
Tidak pasti sama ada tindakan merokok itu untuk menghilangkan rasa sakit atau mengelak diri daripada perasaan malu. Kerana rokok mempunyai ciri-ciri seperti dadah (morfin) yang dapat menahan sakit. Rokok juga menyebabkan rasa khayal.
Pengajaran dari situasi itu (menghisap rokok) menjelaskan kepada semua betapa pentingnya rokok kepada seorang perokok. Tidak kira dalam keadaan apa sekalipun, rokok tidak dapat dipisahkan daripada perokok.
Sebab itu, perokok tegar sukar meninggalkan tabiat merokok. Mereka akan tetap merokok biarpun pelbagai kempen anti merokok diadakan. Mereka tidak kisah harga rokok dinaikkan atau kajian mengenai bahaya merokok.
Perokok tidak takut kepada grafik kesan buruk merokok yang terpapar di kotok rokok. Mereka bukan tidak mengalami kesan atau penyakit akibat perbuatan merokok itu. Mereka akan menjawab atau berkata, orang tidak merokok pun ada penyakit dan mati juga.
Perokok sanggup merokok di dalam tandas yang kotor dan berbau busuk. Mereka lebih utamakan merokok semasa berbuka puasa. Perokok sanggup meredah hujan pada waktu lewat malam ke kedai jika bekalan rokok kehabisan.
Mengikut cerita kawan seorang anggota tentera, dia dan kawan-kawan mencari rokok dulu berbanding makanan apabila helikaptor menggugurkan makanan dan rokok ketika satu operasi di Gunung Kinabalu. Walhal, pada ketika itu mereka dalam keadaan lapar dan tidak bermaya. Mereka lebih pentingkan rokok berbanding makanan biarpun dalam keadaan lapar.
Hanya perokok tahu nilai sebatang rokok. Dapat sedut sekali pun jadilah. Orang tidak merokok tidak tahu apa-apa tentang rokok.
Begitulah, kisah peragut dan perokok.
Post a Comment