Sepasukan anggota daripada Cawangan Nakotik diketuai Inspektor Eddy Yusman Abu Bakar berjaya menahan lapan lelaki berusia dari 19 hingga 41 tahun termasuk tuan rumah.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, tindakan tuan rumah berusia 29 tahun yang tinggal sendirian menjadikan rumah itu sebagai port dadah baharu.
"Kita mengambil langkah proaktif selepas mendapat maklumat daripada masyarakat dan kesemua mereka yang merupakan penduduk tempatan itu didapati positif dadah.
“Hasil siasatan awal mendapati rumah itu baru sahaja dijadikan sebagai port dan ia akan menjadi lebih serius jika tidak dibendung dari awal,” katanya dalam sidang media di Dewan Impiana, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, kelmarin.
Katanya, hasil serbuan tersebut, empat kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan tujuh kes mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta lima kes mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Beliau berkata, antara yang ditahan adalah dua beradik berusia 23 dan 27 tahun yang memberikan bermacam alasan bagi menagih simpati anggota polis.
“Adik meminta polis membebaskan abangnya dengan alasan abangnya perlu menjemput adik di sekolah. Kita difahamkan mereka ini tidak lagi mempunyai ibu-bapa.
“Beberapa lagi suspek yang ditahan kemudiannya memberikan alasan masing-masing tapi kita bertindak mengikut undang-undang, apatah lagi kes penagihan dadah seperti ini merupakan perkara serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Menurutnya, polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat mengenai kegiatan itu sekali gus menunjukkan kesedaran tinggi mereka dalam usaha memerangi dadah.

Post a Comment