Demikian cerita peniaga, Mohd Isa Ismail, 43, yang nyaris dirodok pisau pemotong sayur ketika menyelamatkan rakannya yang cuba disamun penagih dadah, Khamis lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika Mohd Isa yang tinggal di Chukai bersama tiga rakannya sedang berbual berhampiran sebuah restoran di kawasan sempadan Terengganu-Pahang dekat Chendor.
Menurutnya, ketika sedang asyik bersembang, seorang lelaki dipercayai penagih dadah berusia lingkungan 34 tahun tiba-tiba datang mengacu pisau pada leher seorang daripada rakannya, Samsuri Mat Said, 42.
“Terkejut lihat perbuatan lelaki itu, secara spontan saya jerkah dan segera bangun daripada kerusi, lantas memegang tangan lelaki itu untuk cuba mengalihkan pisau sedang diacukannya,” katanya.
Mohd Isa kemudiannya mengheret lelaki itu jauh daripada rakannya dan cuba meleraikan genggaman tangan lelaki itu untuk menjatuhkan pisau yang panjangnya berukuran 10 sentimeter.
Dalam keadaan cemas itu, rakannya yang lain dan beberapa orang awam yang berada berdekatan turut membantunya memegang lelaki itu.
“Kami bergelut seketika dan akhirnya dia melepaskan pisau itu selepas sudah tidak bertenaga,” katanya yang bersyukur kerana sempat mengelak daripada terkena senjata berkenaan.
Kata Mohd Isa, kira-kira 10 minit sebelum kejadian, lelaki itu ada menghampiri dia dan rakan-rakannya lalu meminta RM10 daripada Samsuri.
“Semasa minta wang, dia (suspek) cakap ‘bos, nok sen 10 ya, nok wat minum air’. Jadi tanpa banyak soal dan sebab kasihan, rakan saya hulur RM10 walaupun dia tak kenal lelaki itu. Lepas dapat duit, dia beredar dan kami tak jangka 10 minit kemudian dia datang balik dengan siap pegang pisau,” katanya.
Mohd Isa berkata lagi, ketika dikerumuni orang awam yang marah dengan perbuatan berkenaan, lelaki itu yang dipercayai tinggal di sebuah kampung di Chukai merayu untuk dibenarkan balik ke rumah.
“Sebab tahu dia penagih dadah, waktu itu kami beri dia dua pilihan sama ada kami bawa dia ke balai polis atau dia tidak lagi menunjukkan muka di kawasan itu serta tidak lagi lakukan jenayah.
"Apa yang keluar daripada mulutnya waktu itu adalah ‘nak balik rumah’ yang disebut berulang-kali. Dia juga meminta maaf. Kami lepaskan dia dengan harapan dia tak ulangi lagi perbuatan sama,” katanya.
Post a Comment