BERITA TERKINI

Friday, 11 April 2014

Pemburu babi hutan hadapi risiko hilang nyawa

Advertisement
KAMPUNG DENGIR - TERENGGANU.Tugas memburu babi hutan mungkin nampak mudah, tetapi sebenarnya berisiko kerana boleh mendatangkan kecederaan, malah mengakibatkan kehilangan nyawa jika tersilap langkah.

Pemburu berpengalaman, Jaharuddin Putih, 48, berkata, hampir 30 tahun dia terlibat dalam operasi memburu dan menembak babi hutan.

Menurut anggota Rela itu, dua risiko utama ketika memburu babi hutan ialah diserang haiwan berkenaan dan terkena tembakan pemburu lain.

“Sebab itu aktiviti ini memerlukan mereka yang berpengalaman dan berhati berani memandangkan babi yang terdesak boleh menyerang manusia.

“Lazimnya sebelum operasi, peringatan mengenai keselamatan akan diberikan oleh penembak pengalaman atau pihak berkuasa,” katanya.

Jaharuddin berkata, tiga tahun lalu seorang rakannya putus urat kaki (genting) selepas digigit babi hutan dalam operasi memburu haiwan liar itu.

Bagaimanapun katanya, kerja memburu babi hutan perlu mendapat kebenaran Perhilitan memandangkan haiwan tersebut dilindungi.

"Walaupun berisiko tetapi dalam setiap program gotong-royong musuh tanaman, ramai yang keluar bersama pasukan Rela memburu di kawasan hutan dan belukar.

“Di daerah ini terdapat beberapa pasukan memburu babi yang terdiri daripada pemilik senapang patah dan kumpulan ini sentiasa menyumbangkan tenaga sekiranya diperlukan oleh agensi berkaitan,” katanya.

Kata Jaharuddin, operasi memburu babi hutan biasanya dibantu anjing pemburu milik penduduk berketurunan Siam untuk mengesan, kemudian mengejar haiwan terbabit agar keluar melalui lorong yang dikawal pemburu.

Menurutnya, mereka juga perlu menggunakan jenis peluru penabur yang bersesuaian supaya babi yang ditembak mati segera.

"Jika terlepas dalam keadaan cedera, haiwan itu boleh bertindak lebih ganas,” katanya.

Menurutnya, meskipun harga peluru sekarang agak mahal, pemburu sedia tampil menyertai operasi jika dipanggil pihak berkuasa bagi membantu petani yang terjejas teruk akibat tanaman mereka dirosakkan babi hutan.

Post a Comment