BERITA TERKINI

Friday, 4 April 2014

Ops Lejang Khas 34 ditahan

Advertisement
ROMPIN – Seorang kontraktor bersama dua pekerjanya serta tujuh lori ditahan dalam Ops Lejang Khas Rompin yang dilancarkan di tiga lokasi sekitar Kuala Rompin iaitu di Felda Gugusan Selendang, Brabung dan Bukit Serdang yang bermula jam 4 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Dalam serbuan pada kira-kira 4 pagi itu, kesemua suspek termasuk seorang kontraktor berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan ketika sedang tidur di sebuah bengkel membaiki kenderaan dekat Felda Selendang.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, kontraktor terbabit dikatakan mendapat kontrak menguruskan ladang manakala dua lelaki terbabit adalah pekerjanya.

“Hasil siasatan terhadap tujuh lori ditahan mendapati nombor casis empat daripadanya telah diganggu usik manakala tiga lagi dipercayai lori yang dilaporkan hilang di Kluang, Johor Bahru dan Kuantan,” katanya.

Ops Lejang Khas Rompin itu diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Risikan Operasi (RO), Superintendan Md Zamri Mat Zanu yang turut disertai kira-kira 41 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang turut dibantu Polis Gerakan Am (PGA) Pahang dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, Pekan dan Rompin.

Menurut Johari, lori yang ditahan digunakan untuk kerja di ladang iaitu di lokasi yang terpencil yang mungkin sukar untuk dikesan.

“Pihak polis mempunyai rekod mengenai lori yang dicuri dan ia dikesan sejak tahun 2013.

“Kita akan meneruskan siasatan untuk mengesan kegiatan sebegini yang dipercayai masih ada yang terlibat atau bersubahat,” katanya.

Beliau berkata, polis akan membuat pemeriksaan di ladang lain di Rompin serta memburu beberapa individu yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan berkaitan sindiket mencuri lori ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Johari berkata dalam operasi sama, polis telah menahan 31 warga asing dari Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia kerana tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kerja.

“Hasil pemeriksaan ke atas pendatang asing tanpa izin (Pati) di semua lokasi serbuan, 31 Pati ditahan kerana didapati tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

"Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Imigresen,” katanya ketika sidang media di IPD Rompin, semalam.

Menurut Johari, kejayaan tersebut juga hasil bantuan daripada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Post a Comment