BERITA TERKINI

Monday, 7 April 2014

Misi hidup mati TRW dalam Piala AFC

Advertisement
KELANTAN akan menampilkan corak permainan menyerang lebih agresif apabila berdepan Yangon United FC pada perlawanan peringkat Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Kota Bharu, malam ini.

Pengendali The Red Warriors, Steve Darby berkata, dua penyerang import, Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe akan digandingkan selaku jentera penggempur utama pasukan mereka bagi memastikan misi memburu jaringan awal dicapai.


Menurutnya, peluang Kelantan untuk merintis laluan ke pusingan kedua tetap cerah tetapi pasukannya perlu meraih mata maksimum dalam baki dua perlawanan iaitu menentang Yangon United FC dan South China, 22 April nanti.

“Saya sedar pertemuan menentang Yangon United FC malam esok (ini) menjadi misi hidup dan mati bagi pasukan ini. Satu perkara yang saya tahu sekarang ialah kami mesti menang dan kami tidak ada pilihan lain kecuali menewaskan wakil Myanmar itu.

“Jadi, dua penyerang itu hampir pasti diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama selain Obinna Nwaneri. Saya tidak boleh menurunkan pemain tengah, Mohamed Shawky Aly dan Ahmad Shakir Md Ali kerana mereka berdepan penggantungan perlawanan.

Beliau berkata demikian pada sidang media pra perlawanan di Kota Bharu, semalam. Hadir sama Ketua Jurulatih Yangon United FC, Eric Williams dan wakil pemain kedua-dua pasukan, Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin dan Khing Maung Lwin.

Pengendali kelahiran England itu bagaimana pun tetap tenang ketika ditanya mengenai perancangan beliau untuk berdepan Yangon United FC biar pun pasukannya dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan pemain.

“Ahmad Fakri Saarani pula terpaksa disisihkan akibat kecederaan. Kita tidak boleh menggunakan Brendan Gan dan Mohd Fitri Omar kerana kedua-dua pemain ini tidak didaftarkan beraksi dalam kempen Piala AFC. Jadi, pilihan yang saya ada ialah menggilirkan pemain lain,” katanya.

Sementara itu, rakan sejawatannya, William mengakui Kelantan mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan tersebut kerana beraksi di gelanggang sendiri tetapi pasukannya cukup bersedia memberi tentangan sengit kepada tuan rumah.

“Kami datang ke sini tanpa Kazuki Yoshino dan seorang lagi pemain tempatan akibat penggantungan perlawanan tetapi itu tidak merencatkan perancangan kami. Persiapan kami berjalan lancar biar pun tewas 3-5 kepada South China dalam perlawanan terakhir.

“Memang Kelantan ada peluang (untuk ke pusingan kedua) kerana perbezaan mata dengan kami tidak begitu jauh. Tetapi kami tidak akan membuka ruang mudah untuk mereka menewaskan kami pada perlawanan ini,” katanya.

Post a Comment