Zubaidah Zakaria, 40an, adalah isteri pendikir, Abdul Rahman Wok atau lebih dikenali sebagai Man Irama yang meninggal dunia 28 April lalu, akibat jangkitan kuman.
Arwah amat terkenal sebagai jogho lagu makyong dan popular dengan dikir menerusi tiga album iaitu Dewa Muda, Gemersik Dewa Muda dan Gemersik Dewa Muda 2.
Zubaidah berkata, sebelum ini dia tidak pernah bekerja namun, dia nekad merealisasikan hasrat itu bagi memastikan anak-anaknya terus berjaya dalam pelajaran dan dapat menyambung pengajian ke universiti demi masa depan mereka.
Menurutnya, dia ingin melihat anak keempatnya, Intan Mariani, 18, yang baharu memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikut jejak langkah abangnya.
“Saya bersyukur, dua anak yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sudah bekerja walaupun hanya cukup untuk menyara diri masing-masing.
“Seorang lagi anak saya juga sudah bekerja di salah sebuah kilang. Dua lagi masih dalam tanggungan. Seorang belajar di sekolah rendah dan seorang lagi menunggu peluang menyambung pelajaran,” katanya.
Ibu anak lima ini berkata, Intan yang juga bekas pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 2 memperoleh 5A, 3B dan 2C dalam SPM tahun lalu, meluahkan cita-citanya melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Menurutnya, dia sebagai ibu hanya mampu mendoakan hasrat anaknya akan tercapai dan kejayaan itu pula akan diikuti anak bongsunya yang masih di sekolah rendah.
Zubaidah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Koperasi Dikir yang menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga selepas berkunjung ke rumahnya bersama ahli lembaga pengarahnya.

Post a Comment