Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, seorang suspek wanita berusia 28 tahun bekerja sebagai pelayan bar di sebuah kelab malam sementara seorang lagi suspek lelaki berusia 23 tahun bekerja sebagai mekanik di Jinjang Selatan, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, kedua-dua suspek berkenaan yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi memecut kenderaan itu walaupun telah diarahkan berhenti ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Sua Betong.
“Anggota yang bertugas bertindak mengejar mangsa dan sebaik sahaja tiba di bulatan Sunggala Batu 6, Jalan Pantai menghala ke Telok Kemang, kereta dipandu suspek terbabas dan terbalik ke laluan bertentangan. Kedua-dua suspek tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Abd Wahab berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui lima paket plastik kecil lut sinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 13.9 gram.
“Pihak kami juga menemui ragum, pahat, besi pengumpil, pemutar skru, allen key, kunci, topeng mulut, sarung tangan getah, walkie talkie, dan parang panjang.
"Hasil ujian air kencing kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Abd Wahab menambah, kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam kes ini, pihak kami turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1985 dan Seksyen 28 (i) (ii) Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Suspek lelaki yang memandu kereta tersebut turut akan diambil tindakan di bawah Seksyen 78 (3) Akta Pengangkutan Jalan kerana tidak berhenti sewaktu sekatan jalan raya,” katanya.
Tambahnya, suspek wanita berkenaan mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala suspek lelaki tiada sebarang rekod jenayah.
Post a Comment